Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan 15 Suspek Kumpulan Curi Kereta Untuk Ditukar Dengan Dadah

Diterbitkan: 17 Aug 2016 7.04 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Putrajaya, 17 Ogos 2016 - Polis berjaya menyelesaikan kes curi kenderaan enam tahun lepas dengan tertangkapnya 15 suspek termasuk empat wanita daripada dua kumpulan yang mencuri kereta untuk ditukarkan dengan dadah selain terlibat dalam kegiatan pecah rumah.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-15-suspek-kumpulan-curi-kereta-untuk-ditukar-dengan-dadah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 11:26 MYT

Putrajaya, 17 Ogos 2016 - Polis berjaya menyelesaikan kes curi kenderaan enam tahun lepas dengan tertangkapnya 15 suspek termasuk empat wanita daripada dua kumpulan yang mencuri kereta untuk ditukarkan dengan dadah selain terlibat dalam kegiatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan berkata kesemua warga tempatan berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan susulan tertangkapnya seorang suspek pecah rumah di Putrajaya sebelum ini.

"Tangkapan dilakukan sekitar Putrajaya, Selangor dan Kelantan dari 30 Julai sehingga 15 Ogos," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.

Tanpa mendedahkan nama dua kumpulan terlibat, berikutan gerakan memburu saki-baki anggotanya sedang dijalankan, Rosly berkata mereka terlibat dalam 11 kes curi kereta di kawasan Putrajaya, Selangor dan Kelantan, enam tahun lepas.

Turut dirampas bersama 15 suspek berkenaan ialah 11 kenderaan, mesin pencetak cukai jalan palsu, cukai jalan palsu, geran kereta palsu, alat untuk memecahkan kenderaan dan 70 telefon bimbit yang kesemuanya bernilai lingkungan RM400,000, katanya.

Rosly berkata kedua-dua kumpulan itu turut dipercayai melakukan 10 kes pecah rumah di Putrajaya.

Kebanyakan daripada 15 suspek yang ditahan adalah positif dadah dan siasatan dijalankan di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 457 Kanun Keseksaan, katanya.

Mengenai kes samun kedai emas di Presint 15 pada Ahad lepas, Rosly berkata siasatan setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

Kedai emas yang beroperasi kira-kira setahun lepas disamun sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan tukul besi dan penyembur lada pada Ahad lepas sebelum mereka melarikan diri menaiki dengan Toyota Alphard putih.

Ia merupakan rompakan pertama membabitkan kedai emas di Putrajaya.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Aug 2016 7.04 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM