Polis Serbu Litar Lumba Kereta Haram Di Ipoh
Polis telah menyerbu lokasi litar lumba kereta haram dan berjaya menahan lima lelaki yang sedang asyik menguji kekuatan enjin kereta masing-masing sebelum menunjukkan kehebatan mereka di atas jalan raya dalam satu operasi di Persiaran Meru Raya 3, Ipoh, di sini awal pagi, semalam.
Serbuan selama lima jam bermula pukul 2 pagi hingga 7 pagi itu dijalankan dengan kekuatan tiga pegawai termasuk 28 anggota dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) bersama lapan anggota dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mahiri Hussin berkata, serbuan secara mengejut itu turut menyebabkan semua yang berada di lokasi kejadian termasuk kira-kira 100 individu yang menjadi penonton bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri masing-masing.
"154 kereta diperiksa termasuk kenderaan milik penonton yang turut berada di lokasi kejadian dan sebanyak 14 saman trafik dikeluarkan yang melibatkan 18 kesalahan, manakala 15 saman serta 17 notis telah dikeluarkan oleh JPJ", katanya.
Kelima-lima individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu sehingga membahayakan orang awam.
- Kosmo