Polis Selangor Tahan 12 Anggota Sindiket Curi Susu Formula
Shah
Alam, 9 Dis - Polis Selangor berjaya menahan 12 anggota sindiket curi
susu formula dan barangan kegunaan harian di empat negeri pada Rabu dan
Jumaat lepas, yang dikatakan telah mengaut keuntungan lebih RM100,000.
Ketua
Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata intipan dilakukan hasil
laporan cubaan curi oleh orang awam di sebuah pasar raya di sini dan
sindiket yang bergerak aktif sejak Mac lepas itu berjaya dijejaki.
Katanya
polis mendapati mereka menyasarkan kedai 24 jam di Selangor, Melaka,
Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur untuk melakukan jenayah itu.
"Majoriti
suspek adalah wanita. Modus operandi yang digunakan dengan menyorokkan
barangan curi di dalam jubah atau baju kurung yang dipakai iaitu di
celah kelangkang atau di dalam beg tangan yang dibawa.
"Kemudian,
suspek akan menjualnya di kedai-kedai yang didapati bersubahat dengan
sindiket berkenaan pada harga yang jauh lebih murah, iaitu berbeza
kira-kira 20 peratus daripada harga sebenar," katanya dalam sidang media
di sini hari ini.
Mohd
Shukri berkata serbuan pertama di sebuah kedai ubat di Jalan Kuchai
Lama, Kuala Lumpur pada Rabu lepas, polis berjaya menahan 10 suspek
termasuk seorang pemilik kedai dan empat pekerjanya ketika mereka sedang
menjalankan urusan jual beli barangan curi itu.
Hasil
siasatan lanjut ke atas 10 suspek itu, dua lagi suspek diberkas apabila
polis menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur
pada Jumaat lepas, katanya.
Hasil
penahanan kesemua suspek terbabit, polis merampas pelbagai jenis susu
formula berjenama antaranya Enfalac, Frisolac, Similac, Dumex, Anmum dan
Gain Plus selain syampu pelbagai jenama dan minuman keras yang
dipercayai dicuri dari kedai berlainan.
Katanya
tiga kenderaan sewa yang digunakan untuk melakukan jenayah itu turut
dirampas dan semakan rekod mendapati enam daripada suspek mempunyai
rekod jenayah lampau melibatkan penggunaan dadah, menyimpan barang curi
dan pecah masuk bangunan.
"Sembilan suspek terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki adalah warga tempatan dan tiga wanita lagi warga Indonesia.
"Kesemua mereka berumur lingkungan 24 hingga 55 tahun itu ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber : BERNAMA