Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Selamatkan Kanak Kanak Didera Dan Dibiar Kelaparan

Diterbitkan: 17 Jun 2014 5.59 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
'Hasil pemeriksaan pada badan kanak-kanak itu, kami dapati banyak kesan lebam, bengkak, bernanah, melecur dicucuh puntung rokok di bahagian perut dan telah terkena jangkitan kuman pada luka yang diala..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-selamatkan-kanak-kanak-didera-dan-dibiar-kelaparan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 05:31 MYT

Kuala Terengganu, 25 Jun - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bukan sahaja dipukul dan dicucuh puntung rokok tetapi juga dikurung dan dibiarkan kelaparan selama beberapa hari dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak di sini.

Kanak-kanak itu diselamatkan pasukan polis pada pukul 4.30 petang semalam, susulan laporan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang menerima maklumat orang awam berhubung tangisan kanak-kanak dari rumah tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan sangat lemah di dalam rumah berkenaan selepas pasukan polis meminta bantuan tuan rumah untuk membuka kunci.

"Hasil pemeriksaan pada badan kanak-kanak itu, kami dapati banyak kesan lebam, bengkak, bernanah, melecur dicucuh puntung rokok di bahagian perut dan telah terkena jangkitan kuman pada luka yang dialami," katanya pada sidang media hari ini.

Katanya kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan keadaannya dilapor stabil.

Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak yang dipercayai anak sulung daripada tiga beradik itu didera oleh bapa tirinya yang mengahwini ibu kanak-kanak tersebut 10 bulan lepas, katanya.

"Pihak JKM menerima maklumat berhubung perbuatan kejam ini dari jiran mangsa yang sering mendengar tangisan kanak-kanak yang telah kehilangan bapa kandung 3 tahun lalu," katanya.

Menurut Manoharan ketika serbuan, ibu, bapa tiri dan dua adik kanak-kanak itu dipercayai berada di HSNZ bagi menemani si ibu yang mendapatkan rawatan akibat patah tangan, juga dipercayai akibat perbuatan suspek.

Pihak berkuasa yang ke hospital itu bagaimanapun gagal menemui suspek yang turut bertindak melarikan isteri serta dua anak tirinya, kata Manoharan.

Beliau berkata polis kini memburu Mohd Shazwan Shaari, 29, dari Gong Badak di sini bagi membantu siasatan.

Polis juga sedang mengesan ibu kepada mangsa serta dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan dua tahun setengah.

"Kita meminta orang ramai dan ahli keluarga yang mengenali suspek tampil memberi maklumat secepat mungkin bagi memmbantu suspek kerana risau keselamatan dua lagi kanak-kanak terbabit," katanya.

Orang ramai yang mempuyai maklumat berhubung kejadian itu atau melihat kereta Perodua Myvi bernombor TBE 8379 agar menghubungi pegawai penyiasat ASP Najuri Saibul di talian 016-3989237 atau Pegawai Turus ASP Marina Hashim (012-6766840) atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Sumber :  BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 5.59 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM