Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Sabah Berkas Lelaki Miliki Lapan Rekod Jenayah Kerana Menyamun

Published: 07 Mar 2016 8.21 AM Updated: 15 Aug 2026 7.32 PM
Kota Kinabalu, 7 Mac- Seorang lelaki tempatan yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau diberkas kerana disyaki menyamun sebuah keluarga di Taman Ulia, Menggatal, Jumaat lalu.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-sabah-berkas-lelaki-miliki-lapan-rekod-jenayah-kerana-menyamun
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 15:26 MYT

Kota Kinabalu, 7 Mac- Seorang lelaki tempatan yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau diberkas kerana disyaki menyamun sebuah keluarga di Taman Ulia, Menggatal, Jumaat lalu.

Lelaki berumur 31 tahun berkenaan diberkas di sebuah rumah di Kampung Padas, Menggatal, kira-kira pukul 2 petang semalam hasil serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bandaraya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapati beliau positif dadah," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehhudin Abdul Rahman kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Salehhudin penahanan berkenaan membawa kepada penemuan barangan yang disamun termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda serta pelbagai barangan kemas dianggarkan bernilai RM85,000.

Katanya lelaki berkenaan direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

Menurut Salehhudin ketika menyamun kira-kira pukul 6.45 petang, suspek yang bersenjatakan sebilah pisau mengetuk pintu rumah mangsa dan terus meluru masuk sebaik pintu dibuka oleh seorang wanita berumur 27 tahun.

Ketika kejadian, suami wanita yang berumur awal 30-an dan anak lelaki mereka berumur enam tahun turut berada di dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun, kata Salehhudin anggota keluarga berkenaan tidak diikat namun mangsa samun wanita itu cedera ringan di tangan semasa bergelut apabila suspek memasuki rumah mereka.- BERNAMA

ArticlePublished 07 Mar 2016 8.21 AMUpdated 15 Aug 2026 7.32 PM