Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Rampas Rokok Putih Bernilai Rm75 000 Di Kubang Semang

Published: 18 May 2016 5.05 AM Updated: 15 Aug 2026 7.27 PM
Bukit Mertajam, 18 Mei 2016 - Polis menahan dua lelaki dan merampas 1,250 karton rokok putih yang diseludup bernilai RM75,000 selepas menahan dua kereta di Jalan Ara Kuda, Kubang Semang di sini semalam.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-rampas-rokok-putih-bernilai-rm75-000-di-kubang-semang
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 21:43 MYT
Bukit Mertajam, 18 Mei 2016 - Polis menahan dua lelaki dan merampas 1,250 karton rokok putih yang diseludup bernilai RM75,000 selepas menahan dua kereta di Jalan Ara Kuda, Kubang Semang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata sebuah kereta jenis Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan pada 1 tengah hari dan sebuah lagi kereta yang ditahan ialah Honda Accord yang dipandu lelaki berusia 30 tahun.

"Kereta Honda Accord ditahan ketika kami sedang memeriksa kereta Perodua Alza itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis menemukan 23 bungkusan plastik mengandungi 575 karton rokok putih jenama John dalam Perodua Alza manakala 27 bungkusan plastik mengandungi 675 karton rokok jenama sama ditemukan dalam Honda Accord.

"Kedua-dua lelaki yang masing-masing berasal dari Cheras, Selangor dan Bayan Lepas dekat sini itu bekerja sendiri dan mereka dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar rokok itu ke kedai runcit di sekitar kawasan itu," katanya.

Sementara itu di GEORGE TOWN, polis menahan dua lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan seorang penjaja di Lebuh Pantai pada 16 Mei.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dua lelaki berusia 20-an itu ditahan di George Town kira-kira 10 malam tadi.

"Dalam kejadian Isnin lepas, seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berniaga didatangi dua lelaki yang membuat kacau dan mencederakan mangsa serta mengambil wang hasil jualannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, empat wanita Indonesia berusia 23 hingga 35 tahun yang disyaki anggota sindiket pelacuran ditahan dalam serbuan di sebuah hotel murah di Kampung Deli di sini, pada 10.30 malam tadi.

Mior Faridalatrash berkata turut ditahan tiga lelaki Nepal berumur 30-an disyaki pelanggan mereka dan dua lelaki tempatan berusia 50-an yang dipercayai pemilik hotel murah itu.

Polis turut merampas 60 kondom, pelincir, buku catitan dan sejumlah wang tunai, katanya.- BERNAMA
ArticlePublished 18 May 2016 5.05 AMUpdated 15 Aug 2026 7.27 PM