Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Rampas Pil Kuda Bernilai Hampir Rm1 Juta

Diterbitkan: 26 Aug 2014 8.20 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kota Bharu, 26 Ogos - Polis berjaya membanteras sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai 'sindiket kuning' berikutan rampasan sejumlah pil kuda jenis 'yaba' yang dianggarkan mencecah hampir RM1 juta, dua hari lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-rampas-pil-kuda-bernilai-hampir-rm1-juta
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:27 MYT

Kota Bharu, 26 Ogos - Polis berjaya membanteras sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai 'sindiket kuning' berikutan rampasan sejumlah pil kuda  jenis 'yaba' yang dianggarkan mencecah hampir RM1 juta, dua hari lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam tiga serbuan hampir serentak kira-kira 3 petang itu, pasukan itu juga menahan empat lelaki, seorang perempuan dan seorang kanak-kanak berumur dua tahun.

"Sebanyak 39,817 biji pil yaba yang dianggarkan seberat 4.3 kilogram telah dirampas daripada sindiket itu dengan nilai keseluruhan mencecah RM1 juta.

"Kesemua yang ditahan itu berumur antara 24 hingga 34 tahun dalam tiga serbuan serta turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM509,623 termasuk matawang Baht (Thailand)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Mazlan berkata rampasan dan tangkapan itu adalah operasi bersama pasukan STING (Special Tactikal Intelligence Narcotics Group) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan.

Katanya, dalam rampasan pertama itu polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang merupakan salah seorang isteri suspek bersama seorang kanak-kanak lelaki di kawasan meletak kenderaan di sebuah pusat membeli belah di bandar ini.

"Di situ, kita merampas keseluruhan dadah berkenaan yang diletak dalam sebuah beg di dalam sebuah kenderaan," katanya.

Beliau berkata pada masa yang hampir sama, polis menahan seorang lelaki di Ketereh dan seorang lagi lelaki di Bunut Susu serta merampas semua wang tunai berkenaan termasuk barangan kemas dan beberapa buah kenderaan.

Katanya, sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun dan dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

"Salah seorang lelaki yang ditahan itu dipercayai ketua kumpulan berkenaan dengan salah seorang daripada mereka turut positif dadah," katanya.

Kesemua tahanan direman sejak dua hari lalu sehingga Sabtu dan akan dituduh mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurutnya polis juga sedang menyiasat sama ada terdapat saki baki kumpulan itu yang lazimnya menggunakan kenderaan kuning. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 26 Aug 2014 8.20 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM