Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Rampas Dadah Lebih Rm200 Juta Januari September 2015

Published: 02 Oct 2015 3.59 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menahan 137,975 suspek dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah melibatkan 128,000 kes, dengan nilai rampasan keseluruhan RM209.81 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-rampas-dadah-lebih-rm200-juta-januari-september-2015
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 22:48 MYT

Kuala Lumpur, 2 Okt - Polis menahan 137,975 suspek dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah melibatkan 128,000 kes, dengan nilai rampasan keseluruhan RM209.81 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato' Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, daripada jumlah suspek yang ditahan sejak Januari hingga September, 92,199 orang didapati positif dadah pelbagai jenis, 31,592 orang kerana memilikinya manakala 14,184 orang dipercayai terlibat dengan
pembekalan dadah.

"Seramai 644 orang yang dipercayai ketua sindiket tersebut ditahan di bawah langkah pencegahan khas.

"Banyak lagi akan dicekup dan polis akan bekerjasama dengan pihak media bagi menyiarkan gambar mereka yang dikehendaki yang kini menghilangkan diri," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Katanya pihaknya juga menahan 5,032 orang warga asing yang turut dipercayai terlibat dalam kesalahan sama.

Beliau berkata, dalam operasi yang dibuat, polis turut menyita harta bernilai RM49.65 juta dan harta yang dilucutkan bernilai RM5.89 juta.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pada 8 Sept lepas, Jabatan Narkotik Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) telah menjalankan satu serbuan di sebuah gudang di Jalan Pelabuhan Klang dan merampas 10.3 kg dadah dipercayai syabu yang disembunyikan dalam 26 pasang kasut wanita.

Susulan rampasan itu, polis menjalankan satu lagi serbuan di Bandar Baru Bukit Puchong dan menahan dua warga Afrika bagi membantu siasatan.

Berikutan kejayaan itu, polis membongkar lagi beberapa kes berkaitan menerusi jabatan dan pasukan sama dengan melancarkan tujuh serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 30 Sept lepas, terutama di Seri Kembangan dan
Sentul.

Dalam serbuan di tujuh lokasi itu, polis menahan 12 anggota sindiket warga Afrika dan merampas pelbagai jenis dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 5.7 kg, heroin 250 gram dan kokain 75 gram, keseluruhan bernilai RM5 juta, yang disembunyikan dalam sembilan pasang kasut wanita, beg tangan wanita dan di dalam kotak perkhidmatan kurir, selain menyita harta bernilai RM32,202.

Menurutnya, menerusi dua operasi berkenaan polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah warga Nigeria yang aktif di Malaysia dan kesemua suspek ditahan direman sehingga Rabu ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

ArticlePublished 02 Oct 2015 3.59 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM