Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Pulau Pinang Tingkat Kawalan Dan Rondaan Kawasan Tumpuan Orang Ramai

Diterbitkan: 19 Jan 2016 8.23 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
George Town, 19 Jan - Polis Pulau Pinang meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah dan lokasi pelancongan di negeri ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-pulau-pinang-tingkat-kawalan-dan-rondaan-kawasan-tumpuan-orang-ramai
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 12:15 MYT


George Town, 19 Jan - Polis Pulau Pinang meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah dan lokasi pelancongan di negeri ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata tindakan itu adalah susulan daripada amaran keselamatan negara tahap tertinggi yang diumum Polis Diraja Malaysia berikutan insiden pengeboman di Jakarta, Indonesia.

"Fokus utama kontinjen Pulau Pinang adalah kawasan tumpuan orang ramai ...selain itu pasukan peronda pejalan kaki, unit rondaan bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) akan turut menjalankan pemeriksaan di pejabat-pejabat kedutaan dan kediaman wakil negara asing," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan polis marin juga telah diarah meningkatkan formasi dan rondaan di kawasan perairan negara bagi membendung penularan anasir keganasan.

"Saya beri jaminan keadaan keselamatan di Pulau Pinang dalam keadaan baik. Orang ramai tidak perlu bimbang dengan sebarang ancaman kerana polis sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan. Kami memang sentiasa memberi keutaman kepada keselamatan masyarakat," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata 1,500 pegawai dan anggota akan bertugas dalam Ops Palu bermula 23 hingga 25 Jan ini sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang.

Beliau berkata pihaknya turut meningkatkan kawalan sempena sambutan Thaipusam itu bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang sambutan itu.

"Sasaran kami adalah sifar insiden sepanjang Thaipusam sama seperti tahun lepas...saya juga menyeru penganut Hindu agar tidak khuatir untuk meraikannya kerana pihak polis akan memastikan kawalan keselamatan di kawasan sambutan dipertingkatkan," katanya.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 19 Jan 2016 8.23 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM