Polis Pulau Pinang Tahan Tiga Lelaki Termasuk Dua Anggota Ko
Georgetown,
30 Sept - Tiga lelaki, termasuk dua anggota kongsi gelap yang disyaki
terlibat dalam tiga kejadian tembak di negeri ini dan di Sabak Bernam,
Selangor ditahan dalam dua serbuan di Kuala Kurau, Perak.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata tiga lelaki berusia 36 hingga 60 tahun itu ditahan Jumaat lepas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang.
Beliau
berkata dua lelaki yang bekerja sebagai penjual kereta ditahan dalam
serbuan pada pukul 1.30 pagi dan susulan itu polis menyerbu sebuah lagi
rumah dan menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai
mempunyai kaitan dengan dua lelaki terbabit.
Dalam serbuan pertama, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama 675 butir peluru, katanya.
Abdul
Rahim berkata siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu mempunyai
kaitan dengan dua kejadian tembak pemilik sebuah restoran Simpang Ampat
dekat sini awal bulan ini.
"Kami
percaya mereka mempunyai kaitan dengan kejadian tembak itu yang
mencederakan enam pelanggan lelaki yang sedang minum di sebuah restoran
di Taman Kasawari, 24 Ogos lepas dan seminggu kemudian pemilik restoran
tempat kejadian itu juga ditembak," katanya.
Beliau berkata selain itu, tiga lelaki berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian tembak di Sabak Bernam, Selangor.
"Susulan
penahan tiga lelaki itu, kami percaya dapat menyelesaikan dua kes di
negeri ini dan satu di Sabak Bernam. Mereka kini direman bagi membantu
siastan," katanya.
Sementara
itu Abdul Rahim berkata setakat ini polis Pulau Pinang telah
menyelesaikan 12 kes tembak di negeri ini dan percaya dapat selesaikan
sembilan lagi kes membabitkan kejadian tembak.
Dalam
perkembangan lain, katanya polis Pulau Pinang menahan 491 individu
dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan sejak 17 Ogos lepas hingga semalam
di seluruh negeri ini dan 80 orang daripada yang ditahan itu merupakan
anggota kongsi gelap.
"Kami
merampas enam pucuk pistol, 14 bilah parang, 16 batang rotan dan
pelbagai jenis senjata lain. Polis turut merampas pelbagai barangan
termasuk kereta," katanya.
Sumber : BERNAMA