Polis Pulau Pinang Tahan 267 Orang Dalam Ops Cantas
George
Town, 13 Sept - Polis Pulau Pinang menahan 267 pesalah yang dipercayai
terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan menerusi Ops Cantas
sejak 17 Ogos lepas hingga semalam.
Ketua
Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata daripada jumlah itu, 49
daripada suspek sedang dalam proses untuk didakwa di bawah Akta
Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.
"Setakat
ini lima orang telah didakwa di bawah PCA dan kita minta kerjasama
orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada polis mengenai apa jua
kejadian jenayah di sekeliling mereka," katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jelutong di sini hari ini.
Dalam
perkembangan lain, beliau berkata polis akan mengadakan program
kemasyarakatan di tempat ibadat termasuk masjid, kuil, gereja dan tokong
sebulan sekali mulai hari ini dalam usaha mendekati masyarakat.
Abdul
Rahim berharap dengan adanya program seumpama itu, ia dapat mengukuhkan
kerjasama antara polis dan masyarakat bagi membendung kadar jenayah.
Dalam
khutbahnya, beliau menekankan aspek penerapan nilai murni dan ajaran
agama terhadap kanak-kanak sejak kecil untuk melahirkan insan yang
berakhlak mulia, mempunyai jati diri dan cintakan keamanan.
Beliau
berkata bagi tempoh Januari 2008 hingga Ogos lepas, sebanyak 53,504 kes
dicatat dengan tangkapan berjumlah 16,464 orang dan 2,563 daripada
mereka adalah remaja bawah 18 tahun.
Katanya
jumlah itu memperlihatkan betapa penting peranan ibu bapa dalam
mendidik dan membentuk peribadi anak-anak mereka sejak usia muda bagi
menjamin pembangunan modal insan berkualiti untuk masa depan.
Sumber : BERNAMA