Polis Pertingkat Gerakan Jejak Banduan Lolos Dari Penjara Marang
Marang, 25 Jan- Polis Terengganu mempertingkatkan operasi pencarian bagi menjejaki seorang banduan yang lolos dari Penjara Marang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali berkata dalam operasi tersebut, bantuan unit anjing pengesan dari Jabatan Penjara turut digerakkan bagi mengesan banduan berusia 23 tahun itu.
Katanya radius kawasan pencarian juga diperluaskan kepada lebih lima kilometer dengan disertai pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
"Sehingga kini, kita masih gagal mengesan suspek dan operasi pencarian dilakukan di kawasan sekitar hingga ke pekan Marang dengan berjalan kaki. Rondaan bermotosikal juga masih tidak dapat petunjuk bagi menjejakinya.
"Selain sekatan jalan raya, kita juga melakukan beberapa serbuan termasuk rumah suspek serta rumah rakan-rakanya dalam usaha menjejakinya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi semalam, banduan Mohd Nazri Mat Nasir menggunakan helah untuk ke tandas sebelum meloloskan diri ketika sedang mengikuti kelas agama di penjara berkenaan.
Dia yang menjalani hukuman enam bulan penjara atas kesalahan mencuri dalam bangunan, dipercayai melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang tandas berkenaan.
Mohd Nazri yang berasal dari Kampung Paya Resak, Marang mula menjalani hukuman bermula pada 3 Jan lalu.
Mohd Suhaimi percaya banduan itu masih berada di sekitar Terengganu dan memberi amaran kepada orang awam dan anggota keluarga Mohd Nazri untuk tidak melindunginya.
"Orang ramai yang mempuyai maklumat berhubung suspek diminta tampil atau menghubungi balai polis berdekatan," katanya.- BERNAMA