Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Perak Tahan 71 Individu Babitkan Lima Kumpulan Kongsi Gelap

Diterbitkan: 25 Aug 2016 9.26 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Ipoh, 25 Ogos 2016 - Polis Perak menahan 71 individu membabitkan lima kumpulan kongsi gelap dalam Op Cantas Khas 2 di negeri ini yang dijalankan pada 6 hingga 19 Ogos lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-perak-tahan-71-individu-babitkan-lima-kumpulan-kongsi-gelap
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 17:11 MYT
Ipoh, 25 Ogos 2016 - Polis Perak menahan 71 individu membabitkan lima kumpulan kongsi gelap dalam Op Cantas Khas 2 di negeri ini yang dijalankan pada 6 hingga 19 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak Datuk Gan Tian Kee berkata mereka yang ditahan merupakan anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04, 30, 08, 21 dan 24 berumur antara 17 dan 60 tahun dipercayai terlibat dalam jenayah bunuh, kekerasan, dadah, samun dan memiliki senjata berbahaya.

"Seramai 71 yang ditangkap termasuk tiga suspek berada dalam senarai individu dikehendaki polis dan seorang daripadanya dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Dalam tangkapan tersebut polis turut merampas pedang, parang, kerambit, pisau dan pistol palsu yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah kekerasan yang mereka lakukan," katanya kepada pemberita dalam sidang media Op Cantas Khas 2 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Kesemua mereka disiasat antaranya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh), Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata), Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh), Seksyen 395 Kanun Keseksaan (samun) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Menjelas lanjut Gan berkata walaupun Op Cantas Khas 2 telah berakhir namun JSJ Kontinjen Perak akan terus menjalankan pemantauan dan operasi ke atas kumpulan kongsi gelap.

"Op Cantas Khas ini, kami akan lakukan secara berterusan ramai lagi yang dalam sasaran kami belum ditahan dan ada beberapa daripadanya dapat melarikan diri tapi kami akan tetap buru dan tangkap mereka," katanya dan menambah operasi itu membabitkan 14 pegawai dan 62 anggota polis daripada JSJ IPK Perak.

Gan berkata polis juga sudah mengenal pasti 32 kumpulan kongsi gelap yang bergiat aktif di negeri ini dan akan membanterasnya secara berterusan sehingga kegiatan gangsterism dapat dihapuskan sehingga ke peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita sekiranya berlaku kejadian tembak menembak antara pihak polis dan suspek yang ditahan, Gan berkata tiada kejadian sedemikian namun satu laporan dibuat oleh anggotanya selepas menerima ugutan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan di sekolah-sekolah dalam memastikan para pelajar tidak terlibat atau terjebak dengan kegiatan gangsterism.

"Setiap sekolah akan ditempatkan seorang anggota polis sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah bagi memantau dan tangani kegiatan itu," katanya.- BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 25 Aug 2016 9.26 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM