Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Pantau Rapi Perkampungan Kaum Suluk Di Miri

Published: 10 Apr 2015 12.04 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuching, 9 April - Maklumat risikan oleh Cawangan Khas Polis mengesahkan bahawa di Miri ketika ini terdapat satu perkampungan yang dihuni oleh antara 600 dan 700 pendatang asing tanpa izin dari kaum Suluk yang berasal dari Filipina.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-pantau-rapi-perkampungan-kaum-suluk-di-miri
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 07:57 MYT


Kuching, 9 April - Maklumat risikan oleh Cawangan Khas Polis mengesahkan bahawa di Miri ketika ini terdapat satu perkampungan yang dihuni oleh antara 600 dan 700 pendatang asing tanpa izin dari kaum Suluk yang berasal dari Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata semua maklumat mengenai kehadiran pendatang asing sudah disalurkan Majlis Keselamatan Negara di Sarawak hampir setiap bulan sejak tahun lepas.

Beliau berkata perkampungan itu didapati muncul kira-kira dua atau tiga tahun lalu, dan aktiviti mereka dilihat tidak mengancam keselamatan, dengan jumlah kehadiran mereka tidak seserius seperti keadaan di Sabah.

"Kalau mereka bertindak ganas, sudah tentu kita ambil tindakan segera.

Sekarang kita berusaha elak kehadiran mereka berkembang, kita tidak mahu kebanjiran mereka di Miri," katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel Laporan Pemerdagangan Manusia di sini.

Bengkel tiga hari itu anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat dan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia (MAPO).

Ia bertujuan membantu wartawan memahami peranan media dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia di samping meningkatkan keupayaan mereka dalam membuat laporan yang berkaitan isu berkenaan.

Sekitar hujung bulan lepas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem 'mengisytiharkan perang' terhadap pendatang asing tanpa izin yang menurutnya jumlah mereka semakin bertambah, terutama dari kalangan kaum Suluk dan Bajau dari Filipina, yang bekerja di Miri, kira-kira 800km dari sini.

Sementara itu Muhammad Sabtu berkata tahun lepas polis Sarawak menyelamatkan 89 orang wanita dan lelaki yang terjebak dengan kes pelacuran, di samping menahan 25 'penjaga' mereka.

Bagaimanapun menurutnya hanya empat daripada penjaga itu yang dihadap ke mahkamah, manakala selebihnya sama ada masih dalam siasatan polis, dan ada juga yang dibebaskan selepas dikategorikan sebagai 'tiada tindakan lanjut'.

Ditanya bagaimana pendatang boleh memasuki negara secara tidak sah, beliau berkata ada kalangan mereka memasuki saluran yang betul dan tinggal melebih tempoh yang dibenarkan, dan beliau turut mengakui kesukaran pihak berkuasa untuk mengawasi kawasan sejauh 1,200 kilometer sempadan Sarawak-Indonesia.

Muhammad Sabtu memberi jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan penduduk tidak perlu bimbang, kerana setiap pergerakan pendatang dipantau rapi dan kehadiran mereka tidak mengancam keselamatan.

Menurutnya pihak polis serta imigresen sedang bekerjasama dan menunggu waktu yang paling tepat untuk memulakan tindakan bersepadu dalam membanteras kehadiran mereka.

BERNAMA

ArticlePublished 10 Apr 2015 12.04 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM