Polis P Pinang Selamatkan 10 Warga Myanmar Dijadikan Tebusan
George
Town, 6 Jan - Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 10 lelaki
termasuk dua kanak-kanak warga Myanmar yang diseludup masuk oleh satu
sindiket yang menjadikan mereka tebusan sebelum mendapatkan wang
daripada keluarga mereka.
Ketua
Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua mereka yang
berusia lapan hingga 22 tahun itu diselamatkan polis yang melakukan
serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini pada
kira-kira 8 malam, Sabtu lepas.
"Hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah rumah dan didapati berkunci dengan mangga sebelum terpaksa memotongnya.
"Hasil
pemeriksaan polis menemui tiga lelaki dewasa dan masing-masing lima
remaja serta dua kanak-kanak lelaki bergelimpangan dalam keadaan tidak
bermaya dan tidak terurus dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,"
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya
polis turut menahan sepasang suami isteri berumur 35 dan 21 tahun yang
merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi
Pelarian (UNHCR) serta dua anak perempuan mereka berusia lapan tahun
dan tiga hari.
"Pasangan
suami isteri itu dipercayai ejen kepada sindiket berkenaan dan rumah
sewa mereka dijadikan markas untuk sembunyikan warga asing sebelum
keluarga membayar wang tebusan," katanya.
Abdul
Rahim berkata hasil siasatan mendapati semua warga Myanmar itu
diseludup masuk dari Thailand melalui sempadan Padang Besar, Perlis dan
telah diserahkan oleh seorang lelaki kepada anggota sindiket sebelum
dibawa ke rumah di Simpang Ampat berkenaan.
"Sepuluh
warga Myanmar yang diselamatkan itu telah dikurung di rumah sewa
pasangan tersebut lebih seminggu dan sedang menunggu untuk ditebus oleh
keluarga mereka. Wang bayaran yang dikenakan antara RM4,000 hingga
RM6,000," katanya.
Beliau
berkata polis turut merampas wang tunai RM1,000, lima telefon bimbit,
slip resit penerimaan bayaran wang tebusan dari Myanmar, buku catatan
kegiatan penyeludupan migran dan sekeping kad ATM dalam serbuan itu.
Katanya
usaha mengesan dalang dan anggota sindiket itu giat dijalankan dan
polis percaya mereka menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan
lepas.
"Semua
mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen
26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan
Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.
Sumber : BERNAMA