Polis N Sembilan Rampas Pelbagai Jenis Dadah Bernilai Rm75
Seremban,
6 Mac - Polis Negeri Sembilan merampas pelbagai jenis dadah bernilai
kira-kira RM75,000 dan menahan seorang suspek pada Sabtu lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Narkotik negeri Supt Baharom Othman berkata dalam
kejadian itu, polis menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki di
Jalan Zaaba di sini kira-kira pukul 7.30 pagi dan menjumpai pil Eramin 5, Ecstacy, syabu dan ketamine di dalam paket plastik di tempat duduk pemandu.
Beliau
berkata suspek berumur 56 tahun itu kemudian membawa polis ke rumahnya
di City Homes Seremban 2 dan menjumpai satu tong gas yang diubah suai
mengandungi paket plastik berisi ketamine, syabu, Ecstacy dan Eramin 5.
"Jumlah
dadah yang dirampas ialah 1,103 gram ketamine, 70.5 gram syabu, 659
biji pil Eramin 5 dan 137 biji pil Estacy. Turut dirampas satu alat
penimbang digital yang dipercayai digunakan untuk menimbang dadah
berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau
berkata di rumah itu polis turut mengambil keterangan daripada empat
wanita warganegara Vietnam yang masing-masing berumur 21 tahun.
Suspek yang tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau itu direman sehingga Sabtu ini.- BERNAMA