Polis Marin Tingkatkan Usaha Banteras Penjenayah Warga Asing Menyamar Penguatkuasa
Pontian, 20 Jan - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua akan meningkatkan lagi usaha memerangi penjenayah warga asing yang dipercayai menyamar sebagai penguatkuasa di lautan dan memeras ugut nelayan sekitar perairan Pontian.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Supt Sallehuddin Mat Zaman berkata kegiatan penyamaran itu dikesan sejak akhir tahun lalu.
"Hasil siasatan mendapati mereka ini dipercayai menyamar sebagai penguatkuasa
negara jiran berdasarkan warna bot dan baju uniform yang mirip seperti penguatkuasa," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Komuniti Kepolisan bersama nelayan di Pontian Besar, di sini hari ini.
"Mereka ini disyaki bukan sahaja menyamar sebagai penguatkuasa malah bertindak menceroboh perairan, memeras ugut dan mengganggu gugat keselamatan nelayan zon B iaitu nelayan pukat tunda," katanya.
Beliau berkata, modus operandi penjenayah berkenaan ialah memeras ugut nelayan yang bekerja pada waktu malam, bermula kira-kira 12.00 tengah malam sehingga 4 pagi dengan meminta sejumlah wang tebusan serta merampas barang berharga milik nelayan.
"Penyamar terbabit kemudiannya meminta supaya nelayan menyediakan wang berjumlah antara RM10,000 hingga RM100,000 atau bot mereka dirampas sekiranya gagal," katanya.
Sehubungan itu, bagi mencegah perkara itu pihaknya kini meningkatkan rondaan di kawasan yang sering menjadi tumpuan penjenayah laut berkenaan seperti di sekitar perairan Pulau Pisang dan Tanjung Piai.
Dua bot ronda dengan 10 anggota diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di kawasan berisiko menjadi lokasi pencerobohan meliputi kawasan seluas 30 batu nautika.
Sejak Nov tahun lepas, sebanyak empat kes seumpama itu dilaporkan dengan dua daripadanya berjaya dipatahkan dengan bantuan risikan nelayan.
Setakat ini, terdapat sebanyak 1,225 nelayan berdaftar dengan 100 daripadanya terdiri dari nelayan pukat tunda yang menjadi mata dan telinga polis marin.
- BERNAMA