Polis Marin Sabah Rampas 5 Tan Minyak Sawit Mentah Cuba Diseleweng
SANDAKAN, 8 April - Polis Marin merampas lima tan minyak sawit mentah yang cuba diselewengkan selepas menahan sebuah bot di pesisir pantai berhampiran kilang Sinora dekat sini, semalam.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Sabah Supt Rosman Ismail berkata bot jenis jongkong itu ditahan pada pukul 8.40 pagi dalam satu rondaan di bawah Ops Pensura.
Beberapa lelaki dilihat melarikan diri ke kawasan semak sebaik menyedari kehadiran anggota polis marin, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau rampasan dilakukan di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 iaitu berkaitan aktiviti penyelewengan minyak sawit mentah dialihkan tanpa lesen.
Katanya kes dirujuk kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sumber : BERNAMA