Polis Marin Rampas Mercun Bunga Api Bernilai Rm15 000
Muar, 15 Julai - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 26
kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM15,000 dalam
serbuan di sebuah rumah kosong di Jalan Sungai Balang di sini hari ini.
Pegawai
Pemerintah PPM Wilayah Dua Muar ASP Nordin Osman berkata serbuan
dilakukan pada pukul 8 pagi berdasarkan maklumat orang ramai mengenai pengedaran barangan larangan terbabit.
Beliau
berkata PPM bertindak memecah masuk rumah itu apabila mendapati tiada
sesiapa di dalam premis itu selepas menunggu beberapa jam.
"Hasil
pemeriksaan kemudian menemui 26 kotak besar berisi pelbagai jenis
mercun dan bunga api tersimpan di bahagian tengah rumah," katanya kepada
pemberita di sini.
Nordin
berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan berhubung rampasan itu
dan siasatan sedang diteruskan untuk mengesan penyewa dan pemilik
premis yang bertanggungjawab.
Beliau
berkata pihaknya percaya kesemua mercun dan bunga api yang dibawa masuk
dari China itu adalah untuk diedarkan kepada peniaga yang menjual
mercun dan bunga api di sekitar Parit Jawa, di sini dan Semerah di Batu
Pahat.
Katanya
polis percaya pihak yang terlibat baru sahaja memulakan kegiatan
pengedaran mercun dan bunga api terbabit berdasarkan penemuan resit
transaksi pembelian bernilai RM6,000 yang ditemui di rumah itu.
"Rampasan
ini merupakan yang pertama sejak Ramadan bermula lima hari lepas dan
taktik menyimpan di rumah kosong itu merupakan taktik terbaru," katanya.
Menurutnya,
mereka yang terlibat dengan kegiatan seumpama itu sebelum ini
menjadikan tapak semaian pokok sebagai tempat menyimpan barangan
tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.
Sumber : BERNAMA