Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Marin Rampas 211 000 Liter Minyak Diesel Seludup

Published: 17 Jun 2014 4.21 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis Marin Rampas 211,000 Liter Minyak Diesel Seludup Polis Marin merampas sejumlah 211,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggar bernilai RM379,800 dalam satu serbuan di sebuah premis di Tanjung Belungkor, Kota Tinggi..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-marin-rampas-211-000-liter-minyak-diesel-seludup
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:55 MYT
JOHOR BAHARU, 6 Jun (Bernama) -- Polis Marin merampas sejumlah 211,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggar bernilai RM379,800 dalam satu serbuan di sebuah premis di Tanjung Belungkor, Kota Tinggi awal Khamis.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ACP Zainul Abidin Hasan berkata serbuan dijalankan kira-kira 2.45 pagi setelah menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti penyeludupan minyak diesel di kawasan berkenaan.

Beliau berkata hasil serbuan itu polis merampas sebuah lori berisi minyak diesel dan empat buah tangki simpanan darat berisi minyak diesel yang keseluruhannya mengandungi minyak bersubsidi berjumlah 211,000 liter.

"Berikutan penemuan itu, polis turut menahan empat lelaki termasuk seorang warga Singapura bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan membawa dan memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Zainul Abidin berkata ini adalah tangkapan kedua bagi tahun ini melibatkan penyelewengan minyak bersubsidi selepas tangkapan pertama dibuat pada bulan Mac lepas.

Pada tahun lepas, katanya, terdapat empat kes rampasan minyak diesel subsidi yang melibatkan jumlah rampasan sebanyak 80,000 liter dengan anggaran nilai rampasan RM144,000.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada orang awam berhubung apa jua kegiatan penyeludupan minyak, mahupun penyeludupan manusia serta barangan bercukai.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 07-2372222 atau 07-2376122.

-- BERNAMA
ArticlePublished 17 Jun 2014 4.21 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM