Polis Marin Rampas 153 Karton Rokok Seludup Di Tok Bali
Pasir Puteh, 15 April - Pasukan Polis Marin merampas 153 karton rokok seludup bernilai RM12,200 dalam sebuah bot nelayan yang sedang berlabuh di sebuah jeti di Tok Bali di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pangkalan Kubor, ASP Mohd Nawi Yunus berkata rokok yang diseludup dari Vietnam itu disembunyikan dalam sebuah guni dipercayai untuk dipasarkan kepada nelayan Vietnam yang bekerja di bot nelayan tempatan.
"Berdasarkan maklumat orang awam, tiga anggota polis yang diketuai Kpl Hamidi Rohani membuat pemeriksaan ke atas bot yang mencurigakan itu pada 11.30 pagi," katanya kepada pemberita di Pangkalan Polis Marin Tok Bali di sini, hari ini.
Mohd Nawi berkata rokok berkenaan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan nelayan Vietnam dan dijual dengan harga RM80 setiap karton.
Katanya tiada tangkapan dibuat dan rokok berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk tindakan lanjut.
BERNAMA