Polis Marin Keluar 18 Saman Pelbagai Kesalahan Di Semporna
Semporna, 8 Ogos- Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna mengeluarkan 18 saman pelbagai kesalahan terhadap bot yang beroperasi di perairan daerah ini, dalam satu operasi bersepadu di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah Empat, ACP Mohamad Madun berkata dalam operasi selama lapan jam bermula 8 pagi di perairan pelabuhan Semporna itu, sebanyak 41 buah bot tempatan telah diperiksa.
"Kesemua bot tersebut disaman kerana melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) dan kes itu disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dalam operasi yang turut disertai Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Semporna serta Jabatan Imigresen itu, pihaknya juga menahan tiga lelaki di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan telah diserahkan ke Balai Polis Semporna untuk tindakan lanjut, katanya.- BERNAMA