Polis Marin Berkas Tiga Tekong 40 Pati
Kota Tinggi, 13 Jan 2017 - Pasukan Polis Marin Pengerang berjaya memberkas tiga tekong darat terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga Indonesia bersama 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga serbuan berasingan antara jam 2 hingga 4.40 pagi tadi di Pantai Sungai Musoh dan Sungai Rengit Pengerang Kota, di sini.
Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai pemandu kenderaan dan disyaki dalam perjalanan untuk menghantar sekumpulan PATI.
"Sementara itu, polis telah membuat serbuan di kawasan hutan berhampiran dan berjaya memberkas sekumpulan PATI yang baru sahaja mendarat dengan menggunakan bot pancung dari Indonesia.
"Manakala, tangkapan ketiga melibatkan sekumpulan lagi PATI yang sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal melalui laut," katanya.
ACP Paul menambah, semua tangkapan PATI yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen, tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan serta keluar dan masuk melalui jalan yang tidak diwartakan.
Manakala tiga individu yang disyaki sebagai tekong darat akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).