Polis Lumpuh Kegiatan Loteri Haram Di Jerteh
BESUT,
16 Nov (Bernama) -- Polis melumpuhkan kegiatan loteri haram yang
bergiat lebih tiga bulan di bandar Jerteh dengan tertangkapnya empat
lelaki dalam serbuan Ahad lalu.
Ketua
Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata semua lelaki
yang berumur antara 36 dan 58 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman
Teratur dekat sini ketika sedang menjalankan aktiviti mereka.
Katanya,
polis merampas 23 helai kertas yang mempunyai nombor loteri, satu unit
mesin faksimili, satu unit mesin kira, alat tulis dan wang tunai
berjumlah RM7,973.
Dalam
sidang akhbarnya pada Selasa, Kamaruddin berkata kejayaan tersebut
adalah hasil penyiasatan dan intipan serta maklumat orang ramai sejak
beberapa bulan lalu.
"Saya
percaya dengan tertangkapnya empat suspek itu, kegiatan judi loteri
haram yang baru hendak berkembang di daerah ini berjaya dilumpuhkan,"
katanya.
Menurutnya,
kegiatan itu dipercaya dijalankan sebanyak tiga kali seminggu dengan
membabitkan jumlah pertaruhan judi tidak kurang dari RM7,000 bagi tiap
kali dijalankan.
Katanya,
kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4a(a) Akta Rumah Judi Terbuka
(ARJT) 1953 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau
denda maksimum RM200,000, jika sabit kesalahan.
Semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.