Polis Kulim Tahan 13 Lelaki Disyaki Terlibat Kes Curi Motosi
KULIM,
25 Feb - Polis menumpaskan tiga kumpulan dan dua individu yang aktif
menjalankan kegiatan mencuri motosikal di daerah Kulim dan Pulau Pinang
berikutan tertangkapnya 13 lelaki sejak pertengahan bulan ini hingga
Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata anggota kumpulan Owek, kumpulan Micheal dan kumpulan
Puteh Muru serta dua individu yang bertindak secara ''solo'' itu
ditahan pasukan petugas khas di beberapa lokasi termasuk sekitar bandar
ini, Pekan Sungai Kob, Padang Serai dan Mahang.
Katanya
tujuh yang ditahan ialah anggota kumpulan Owek diketuai seorang juvana
(17 tahun), kumpulan Puteh Muru (dua lelaki anak-beranak berusia 42 dan
17 tahun) dan kumpulan Micheal (dua orang).
"Pihak
polis menemui semula 23 rangka motosikal yang telah dileraikan
komponennya, ditenggelamkan di kawasan tasik, kolam tinggal dan sungai
termasuklah di Sungai Muda (sekitar Kampung Sidam Kanan), Sungai Ular
dan Lunas," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya
polis juga menjumpai lapan motosikal lengkap yang kebanyakannya
daripada jenama Honda EX5 yang dikatakan popular dalam kalangan pencuri
motosikal di sekitar Utara.
Ghuzlan
berkata berdasarkan siasatan salah seorang suspek berusia 42 tahun
mengaku mencuri lebih 30 motosikal di daerah ini sejak 2011.
"Hasil saringan dadah yang dilakukan ke atas semua suspek, tujuh daripadanya positif dadah," katanya.
Beliau
berkata berdasarkan kadar indeks jenayah, daripada 1,649 kes jenayah
keseluruhannya yang dilaporkan sejak 2011 sebanyak 520 kes atau 31.5
peratus adalah kes curi motosikal.
Beliau
berkata berdasarkan fakta itu pihaknya bertindak menubuhkan pasukan
petugas itu terdiri daripada 19 anggota dan seorang pegawai berpangkat
Inspektor sejak Januari lepas.
"Saya
bangga dengan kejayaan yang dicapai pasukan ini, sekurang-kurangnya
dalam tempoh sebulan dua ini kadar indeks jenayah mencuri motosikal di
daerah ini telah turun secara mendadak," katanya. - BERNAMA