Polis Kenal Pasti Geng Rompak Kedai Emas Di Perai
George Town, 11 Nov- Polis telah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kes rompak kedai emas di Medan Kurau 1, Chai Leng Park, Butterworth pada 29 Sept lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Dato' Zakaria Ahmad.
Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman untuk mengesan lima lelaki yang terlibat dalam kejadian itu.
"Polis telah berjaya memperoleh beberapa maklumat penting mengenai kumpulan itu dan saya percaya kami akan dapat menyelesaikan kes berkenaan. Beri polis masa (untuk jalankan siasatan)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.34 pagi itu, empat lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan dua pistol melarikan 10 dulang barang kemas bernilai lebih RM600,000 dari sebuah kedai emas di Medan Kurau 1, Chai Leng Park di sini.
Berdasarkan siasatan, polis percaya rompakan itu dirancang dengan rapi dan mendapati lima lelaki terlibat termasuk pemandu kereta yang menunggu empat rakannya di belakang sebuah rumah di Lorong Kurau 25.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata pengawal keselamatan sekolah yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima di Teluk Kumbar bulan lepas dipercayai turut terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang kerani sebuah syarikat swasta.
Beliau berkata dalam kejadian 8 Okt lepas, mangsa yang berusia 20-an sedang tidur di rumah keluarganya di Teluk Kumbar sebelum rumahnya dimasuki seorang lelaki yang kemudian masuk ke bilik wanita itu sebelum menutup mulut serta merogolnya.
"Wanita itu membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan dan berdasarkan siasatan kami percaya pengawal keselamatan berkenaan terlibat dalam kes terbabit. Selain itu suspek turut terlibat dalam kes rogol mangsa Tingkatan Lima itu," katanya.
Beliau berkata kertas siasatan kedua-dua kes rogol itu hampir siap dan polis hanya menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Ketua Unit Perundangan untuk tindakan selanjutnya.
Mayat Intan Suraya Mawardi, 17, pelajar sebuah sekolah menengah di Teluk Kumbar ditemui dalam keadaan terbaring dan berselimut di atas katil oleh bapanya, yang pulang ke rumah pada pukul 7.30 malam.
Pelajar perempuan Tingkatan Lima, yang ditemui mati di rumah keluarganya di Teluk Kumbar itu telah dirogol sebelum dibunuh teman lelakinya itu.- BERNAMA