Polis Kelantan Tubuh Pasukan Khas Tangani Aktiviti Tonto Di Sempadan Kelantan Thailand
Kota Bharu, 10 Okt 2016 - Polis Kelantan akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menangani isu berkaitan tonto di sempadan Kelantan-Thailand susulan kematian seorang pegawai wanita Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) akibat kenderaan dinaikinya dirempuh kenderaan tonto di Banggol Chica, Pasir Mas pada Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pasukan itu akan menjalankan siasatan rapi berkaitan kes itu kerana menganggap ancaman tonto kini semakin serius.
"Kes pegawai kastam itu, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Buat masa sekarang, polis sudah mengenal pasti seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai tonto bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Pegawai kanan wanita JKDM, Anisah Ali, 54, yang koma sejak kejadian itu Jumaat lepas selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua rakannya dirempuh kenderaan tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, meninggal dunia pukul 11.15 malam Sabtu.
Kenderaan JKDM itu dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tonto ketika tiga pegawai kastam terbabit sedang mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup.
Noor Rashid percaya pihak yang terbabit dalam kes terbabit sudah bolos ke negara jiran tetapi saki baki anggota kumpulan penyeludup ini akan dikesan.
"Kita akan mengesan rakan-rakan kepada lelaki yang dikenal pasti itu untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata polis Kelantan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya polis Kelantan juga akan menggunakan kepakaran forensik bagi siasatan terperinci sebelum tangkapan seterusnya dilakukan.
"Mana-mana pihak yang terbabit akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
"Polis juga bersedia untuk berkerjasama atau membantu mana-mana agensi penguatkuasa di sempadan sekiranya perlu," katanya.
Beliau berkata pasukan khas yang ditubuhkan itu juga akan memantau kawasan di sepanjang sempadan berkenaan bukan sahaja bagi menangani isu itu tetapi juga aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.
Terdahulu, Noor Rashid mengadakan lawatan ke IPK Kelantan termasuk mendengar taklimat persiapan polis bagi menghadapi banjir di negeri ini tahun ini.
Beliau berkata dalam persiapan kali ini, seramai 923 anggota akan terbabit dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir.
"Kita juga sudah membuat permohonan bagi menampung kekurangan dalam menghadapi banjir termasuk memohon bot atau enjin bot.
"Berdasarkan pengalaman banjir 2014, kita dapati bot yang ada tidak dapat menangani arus deras di beberapa kawasan yang dilanda banjir sehingga boleh mendatangkan bahaya dalam tugas menyelamat mangsa banjir," katanya.- BERNAMA