Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Kelantan Tahan Tiga Anggota Geng Along

Diterbitkan: 13 Aug 2014 1.05 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
"Wanita itu kemudiannya akan memberikan isyarat kepada anggota lelaki yang berada di luar untuk menyamun dan mengambil barangan berharga yang terdapat dalam kedai berkenaan.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-kelantan-tahan-tiga-anggota-geng-along
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 17:42 MYT

Kota Baharu, 12 Ogos - Dua wanita dan seorang lelaki anggota 'Geng Along' ditahan Sabtu lalu dipercayai terbabit kes samun di negeri ini dan Besut, Terengganu, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan pada pukul 2 petang di sebuah rumah rehat di Kampung Air Tawar, Pasir Puteh.

"Suspek berusia antara 20 dan 46 tahun itu ditahan bersama beberapa barangan yang dipercayai hasil samun.

"Kita turut merampas sepucuk pistol tiruan dan sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan samun di Kelantan sejak Julai lalu, berdasarkan rekod penginapan di rumah rehat menunjukkan suspek berada di situ sebelum Ramadan.

Mazlan berkata modus operandi kumpulan ini adalah anggota wanita yang memakai telekung akan masuk terlebih dahulu ke premis sasaran bagi memastikan mangsa berada seorang diri.

"Wanita itu kemudiannya akan memberikan isyarat kepada anggota lelaki yang berada di luar untuk menyamun dan mengambil barangan berharga yang terdapat dalam kedai berkenaan.

"Sasaran kumpulan ini adalah butik pengantin dan pakaian mewah dan kumpulan ini bergiat aktif selepas waktu Isyak," katanya.

Mazlan berkata polis juga sedang mengesan seorang lelaki dipercayai ketua Geng Along iaitu Kam Ismadafirun Mohd Daud, 39, berasal dari Negeri Sembilan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 13 Aug 2014 1.05 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM