Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Kelantan Nafi Tidak Jalankan Siasatan

Published: 10 Aug 2018 1.22 AM Updated: 17 Jul 2026 11.48 AM
Kota Bharu, 10 Ogos 2018 - Dakwaan kononnya polis tidak menjalankan siasatan kes remaja perempuan berusia 15 tahun yang hilang dari rumahnya di Bachok dipercayai dilarikan teman lelaki berusia 19 tahun, sebagaimana yang ditularkan di media sosial adalah tidak benar.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-kelantan-nafi-tidak-jalankan-siasatan
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 06:31 MYT

Kota Bharu, 10 Ogos 2018 - Dakwaan kononnya polis tidak menjalankan siasatan kes remaja perempuan berusia 15 tahun yang hilang dari rumahnya di Bachok dipercayai dilarikan teman lelaki berusia 19 tahun, sebagaimana yang ditularkan di media sosial adalah tidak benar.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis sudah menjalankan siasatan termasuk meminta maklumat daripada Jabatan Imigresen mengenai pergerakan suspek dan remaja berkenaan tetapi tiada maklumat mengenainya diperoleh setakat ini.

"Polis juga mengambil beberapa langkah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menyenaraikan suspek dalam senarai pekeliling khas ke atas suspek mengenai pergerakannya.

"Polis juga turut mendapatkan senarai keluarga suspek daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesannya selain menyenaraikan suspek sebagai Orang Dikehendaki,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PolisKontinjen Kelantan di sini, semalam.

​​​​​​Sebelum ini, dilaporkan seorang remaja perempuan hilang dari rumahnya di Kampung Hujung Repek, Bachok sejak lebih tiga bulan lepas, disyaki dilarikan seorang lelaki berusia 19 tahun dan kini dipercayai berada di Selatan Thailand.

Hasanuddin berkata, sebaik menerima laporan polis daripada keluarga remaja perempuan itu pada 26 April lepas, polis juga telah menubuhkan satu pasukan petugas dan sudah beberapa kali membuat serbuan ke atas rumah suspek di Kampung Gelonggong, Bachok tetapi gagal mengesannya.

Beliau berkata, polis tidak pernah berputus asa untuk menyelesaikan kes ini dan tidak pernah menutup kes sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

"Polis sebenarnya sedang menjalankan siasatan dan kesal kerana kes berkenaan ditularkan dengan menuduh polis tidak meneruskan siasatan. Tiada gunanya kes ini ditularkan kerana ianya tidak membantu menyelesaikan masalah," katanya. - BERNAMA

ArticlePublished 10 Aug 2018 1.22 AMUpdated 17 Jul 2026 11.48 AM