Polis Jumpa Kanak Kanak Setengah Jam Lepas Dilarikan Bersama
Ipoh, 24 April - Tindakan pantas polis telah berjaya menemui seorang
kanak-kanak lelaki berusia lima tahun selepas setengah jam mangsa
dibawa lari bersama kenderaan Toyota Vios milik ibu bapanya oleh tiga
lelaki semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mangsa ditemui ditinggalkan oleh suspek di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan dalam keadaan selamat bersama kenderaan tersebut.
"Dalam
pukul 9.30 malam, ibu bapa mangsa meninggalkan kanak-kanak itu di dalam
kereta yang enjinnya dihidupkan bagi mengemas restoran milik mereka di
Jalan Tasik, Gopeng.
"Sambil
mengemas restoran, ibu mangsa meninjau-ninjau ke arah kereta dan
kira-kira setengah jam kemudian, mangsa didapati hilang bersama kereta,"
katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau
berkata ibu kanak-kanak itu yang panik kemudian bertindak menghubungi
polis bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut sebelum pasukan
'Cantas' yang ditubuhkan khas untuk pilihan raya, membuat rondaan dan
menemui mangsa di R&R itu.
Katanya, ketiga-tiga suspek yang dipercayai warga tempatan itu meninggalkan mangsa bersama kereta sebelum melarikan diri.
"Hasil
daripada keterangan mangsa, kanak-kanak itu hanya boleh mengecam warna
kulit tetapi tidak dapat mengenal pasti mangsa namun kita akan buru
mereka.
"Motif
kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 363
Akta Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan
denda," katanya.
Dalam
pada itu, jurucakap media pilihan raya umum ke-13 kontinjen Perak Supt
Maszely Minhad berkata polis menerima 17 laporan berkaitan kesalahan
pilihan raya dan telah membuka satu kertas siasatan semalam.
"Semalam,
dua remaja lelaki berusia 15 tahun telah ditahan atas kesalahan
mencabut sebatang bendera parti di Sungai Siput namun dibebaskan atas
jaminan polis setelah rakaman percakapan diambil," katanya.
Maszely
berkata sebanyak 121 ceramah telah dijalankan di seluruh Perak semalam
di mana 14 dari jumlah itu didapati tidak mempunyai permit.
Beliau
turut mengingatkan parti bertanding agar tidak mengupah pekerja asing
untuk memasang bendera kerana ia melanggar syarat kemasukan pekerja
asing. -BERNAMA