Polis Jejaki Kumpulan Penyamun Aktif Lakukan Kegiatan Pecah
George
Town, 16 Jun - Polis Pulau Pinang melancarkan 'Ops Rantau Khas' bagi
menjejaki sekumpulan penyamun warga Indonesia yang aktif melakukan
kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas sejak
awal Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata kumpulan itu terdiri daripada tiga hingga empat orang, menyasarkan rumah di pinggir bukit dan hutan sebagai sasaran.
"Setakat
ini enam kes pecah rumah telah dilaporkan sepanjang bulan lepas,"
katanya kepada pemberita selepas program Kepolisan Berprofil Tinggi di
Taman Perumahan Cangkat Sungai Ara, di sini hari ini.
Katanya
modus operandi kumpulan itu ialah mereka akan datang ke kawasan yang
menjadi sasaran sekitar 6 petang dengan menyamar sebagai pekerja
pemotong rumput bagi meninjau keadaan sekitar.
"Suspek
kemudiannya akan datang semula pada awal malam dalam lingkungan pukul 8
hingga 9 malam dengan kenderaan lain seperti van, kereta atau teksi
kemudian bersembunyi di dalam kawasan hutan berdekatan rumah yang ingin
disamun," katanya.
Beliau
juga berkata suspek juga meracun anjing pemilik rumah termasuk anjing
liar bagi mengelak pergerakan mereka disedari penduduk.
Katanya
dalam operasi tersebut polis turut meningkatkan rondaan serta
menempatkan anggota untuk bermalam di sekitar kawasan pinggir bukit.
Lai
turut meminta orang ramai melaporkan segera kepada polis sekiranya
melihat pergerakan yang mencurigakan di sekitar kawasan kediaman mereka.
- BERNAMA