Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Gagalkan Cubaan Sindiket Seludup Masuk Dadah Guna Ubi

Published: 16 Jun 2014 6.55 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menggagalkan kegiatan satu sindiket jenayah yang cuba membawa masuk dadah ke dalam negara dengan cara menyembunyikannya di dalam ubi kayu dan ubi keledek, ..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-gagalkan-cubaan-sindiket-seludup-masuk-dadah-guna-ubi
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 22:01 MYT
SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menggagalkan kegiatan satu sindiket jenayah yang cuba membawa masuk dadah ke dalam negara dengan cara menyembunyikannya di dalam ubi kayu dan ubi keledek, dalam dua rampasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini sejak dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata taktik baru itu dikesan selepas polis menahan dua lelaki warga Nigeria, masing-masing pada hari Sabtu lepas dan pagi ini di KLIA, sebaik sahaja mereka tiba dengan penerbangan dari Lagos, Nigeria.

Beliau berkata ketika ditahan kedua-dua lelaki yang berumur 31 dan 32 tahun itu didapati membawa dua beg, iaitu beg pakaian dan sebuah beg plastik bersaiz besar yang diisi dengan ubi kayu serta ubi keledek yang masih mempunyai kesan tanah.

Katanya selepas diperiksa beg plastik itu, ia didapati mengandungi beberapa ketul ubi kayu serta keledek, dan apabila diteliti terdapat kesan potong serta cantuman menggunakan dawai pada bahagian ubi yang dibawa mereka.

"Selepas diperiksa kami menemui 11 bungkusan berisi dadah dipercayai syabu disembunyikan di dalam ubi kayu dan keledek yang dibuang isi dalamnya itu," katanya dalam satu persidangan media di sini Isnin.

Nordin berkata kesemua bungkusan dadah jenis syabu seberat 9.64kg itu bernilai kira-kira RM2.41 juta.

"Kami percaya kedua-dua lelaki ini merupakan anggota sindiket yang sama berdasarkan modus operandi dan taktik yang digunakan. Ketika ditanya mengapa mereka bawa ubi kayu dan ubi keledek itu, mereka mendakwa ia dipesan oleh rakan yang tinggal di sini," katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod, suspek berumur 32 tahun yang ditahan Sabtu lepas datang ke Melaysia buat pertama kali, manakala bagi suspek kedua berumur 31 tahun yang ditahan kira-kira pukul 7.30 pagi ini, ia merupakan kunjungan kali kedua ke Malaysia.

Katanya kedua-dua suspek bekerja di kedai menjual barangan aksesori motosikal di negara mereka.

Nordin berkata mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
ArticlePublished 16 Jun 2014 6.55 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM