Polis Buru Pemberi Rasuah Yang Terima Salah Yang Memberi Juga Salah
Ipoh, 6 Jun 2017 - Susulan rakaman video yang menjadi viral membabitkan seorang anggota trafik dipercayai menerima rasuah minggu lalu, polis sedang mengesan seorang lagi lelaki yang merakam video berkenaan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan mengesan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes itu.
Katanya, anggota polis trafik yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh juga sudah diarahkan bertugas dalam pejabat sehingga siasatan selesai.
"Kita hentikan pergerakan luar anggota polis dan sehingga siasatan selesai dijalankan, dia akan bertugas di pejabat. "
(Tindakan) tatatertib tetap berjalan dan pada masa sama (kes) rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dijalankan tetapi kita memerlukan kedua-duanya (yang merakam dan anggota polis yang menerima) sebelum tindakan susulan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis Gerakan Udara (PLPGU) di sini, hari ini. Hasnan berkata, sepanjang tahun ini kurang daripada 10 anggota polis dikesan terbabit dalam rasuah.
"Kebanyakan yang terbabit adalah anggota (bukan pegawai) dan mereka disiasat mengikut Akta SPRM," katanya.
Dalam rakaman video berdurasi enam saat yang menjadi viral di laman sosial minggu lalu, seorang anggota trafik dilihat bersalaman, dipercayai menerima suapan daripada seorang pemandu lelaki ketika menjalankan tugas.
Sumber: Berita Harian Online