Polis Bongkar Sindiket Jual Bayi Dan Kanak Kanak
GEORGE
TOWN, 24 Jan — Polis membongkar sidiket menjual bayi dan kanak-kanak
yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33
individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.
Mereka
yang ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal
Disember hingga minggu ini, berusia antara 23 dan 52 tahun, dan
antaranya ialah penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor
pusat perubatan swasta.
"Kami
percaya lapan bayi seawal usia dua bulan dan seorang kanak-kanak
berusia lapan tahun yang diselamatkan itu adalah untuk dijual," kata
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada pemberita di
sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai operasi dan lokasi serbuan kerana kes itu masih disiasat.
Siasatan
awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga
antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan
jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.
"Polis
merampas lima keping MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 rekod perubatan dan
kesemuanya adalah dokemen asli serta wang tunai sebanyak RM15,000,"
katanya.
Abdul
Rahim berkata tujuh daripada bayi yang diselamatkan itu dipercayai
rakyat Thailand, manakala yang lain campuran Bangladesh dan Indonesia
serta seorang rakyat tempatan.
Kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di bawah seliaan polis.
Beliau
berkata sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati
menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing
yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan
mahu menjual anak mereka. — Bernama
