Bukit Aman, 23 Oktober- "Jumlah tangkapan begitu besar walaupun penjenayah memiliki senjata api membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak mengikut prosedur tetap (SOP) dan bukan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan bagi menyebabkan kematian sebaliknya berusaha untuk melakukan tangkapan," tegas YDH DCP Datuk Mazlan bin Mansor, Timbalan Pengarah (Risikan/ Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan rekod dari Januari 2011 sehingga September 2013, seramai 503 penjenayah bersenjata api telah ditangkap tanpa melibatkan insiden tembak menembak dan dalam tempoh ini juga, seramai 94 penjenayah telah terbunuh melibatkan kes tembak menembak.
Tempoh tersebut (Januari 2011 - September 2013) turut menyaksikan sejumlah 573 pelbagai jenis senjata api berjaya dirampas.
Menurutnya lagi, keputusan untuk melepaskan tembakan akan hanya akan dibuat bagi mempertahankan diri sekiranya nyawa anggota pasukan terancam, khususnya apabila penjenayah terlebih dahulu bertindak melepaskan tembakan dalam cubaan mereka melepaskan diri; hak mempertahankan diri ini termaktub secara jelas dalam peruntukan undang-undang.
"Saya ingin menjelaskan bahawa jumlah penjenayah yang terbunuh dalam insiden tembak-menembak adalah amat terpencil berbanding dengan jumlah penjenayah yang memiliki senjata api tetapi berjaya ditangkap tanpa kehilangan nyawa atau kematian," ujarnya.