Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Berkas Wanita Miliki Simpanan Rm1 4 Juta Disyaki Pengedar Dadah

Diterbitkan: 13 Sep 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menahan seorang wanita yang dipercayai dalang utama jaringan pengedaran dadah di pulau ini serta merampas 5 kilogram heroin dan 171 gram syabu di Jeti Kuah, Khamis lepas. Hasil siasatan, polis turut mengesan simpanan berjumlah RM1.4 juta dalam akaun bank wanita berusia 28 tahun itu.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-berkas-wanita-miliki-simpanan-rm1-4-juta-disyaki-pengedar-dadah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 21:48 MYT

Langkawi, 13 Sept - Polis menahan seorang wanita yang dipercayai dalang utama jaringan pengedaran dadah di pulau ini serta merampas 5 kilogram heroin dan 171 gram syabu di Jeti Kuah, Khamis lepas.

Hasil siasatan, polis turut mengesan simpanan berjumlah RM1.4 juta dalam akaun bank wanita berusia 28 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata, wanita itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini, sebaik tiba dengan menggunakan feri kira-kira pukul 6.30 petang.

"Dadah itu ditemui dalam beg galas yang dibawa wanita tersebut dan ia dianggarkan bernilai RM202,000 dan mampu dijual kepada kira-kira 50,000 penagih.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988. Polis juga sedang mengesan lain-lain harta milik suspek untuk tindakan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Supt Che Ghazali berkata, wanita berkenaan adalah antara dua pengedar yang berjaya
diberkas menerusi Program Jihad Perangi Dadah yang dilancarkan baru-baru ini yang bertujuan membersihkan pulau tersebut daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kedua-duanya yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Polis Tumpaskan 11 Pengedar, 71 Penagih Dadah

Sementara itu, katanya, dalam operasi di kawasan Bukit Malut di sini di antara 3 dan 10 Sept lepas, polis berjaya memberkas 71 penagih serta mengenal pasti 11 pengedar heroin dan syabu yang beroperasi di situ.

"Bagi 11 pengedar yang telah dikenal pasti ini, polis akan terus memantau kegiatan mereka untuk diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 ataupun Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 13 Sep 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM