Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Berkas 3 Suspek Cuba Lari

Diterbitkan: 16 Jun 2014 4.22 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
PETALING JAYA 7 April - Tiga lelaki bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan apabila mahu diperiksa oleh polis, malah bertindak melarikan diri dengan memandu dalam keadaan melawan arus sehingga te..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-berkas-3-suspek-cuba-lari
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 23:18 MYT

PETALING JAYA 7 April - Tiga lelaki bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan apabila mahu diperiksa oleh polis, malah bertindak melarikan diri dengan memandu dalam keadaan melawan arus sehingga terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kereta mereka terbakar di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) di sini hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sepasukan anggota polis peronda (MPV) terserempak dengan suspek berkeadaan mencurigakan dalam sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih di hadapan Dewan Sri Petaling dekat sini, lalu menghampiri mereka untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, tiba-tiba suspek memecut kenderaan secara berbahaya dan membuat pusingan beberapa kali di sekitar Taman Sri Sentosa dekat sini.

"Selepas itu, suspek terus memecut ke Taman Sri Manja dan menggunakan laluan sehala secara menyongsang arah menuju ke Lebuh Raya NPE.

"Sebelum sampai ke Plaza Tol Petaling Jaya Selatan (PJS) 2 di lebuh raya berkenaan, anggota polis MPV terbabit berjaya memintas kereta suspek tetapi sekali lagi mereka dapat melepaskan diri dengan memasuki laluan motosikal melepasi plaza tol berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Menurut Khairi, suspek terus memecut laju menghala ke Subang Jaya sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Perodua Kancil setibanya di Plaza Tol PJS 5 pada pukul 2.30 petang.

Beliau berkata, kereta suspek kemudian terbabas melanggar pembahagi jalan dan berpusing-pusing beberapa kali sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki anggota polis yang mengejar di belakang.

Katanya, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan tetapi kereta mereka musnah terbakar semasa sedang diperiksa oleh polis.

"Sebelum kereta suspek terbakar, polis sempat membuat pemeriksaan di dalamnya dan menemui payung yang hulunya menyerupai pedang samurai," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang menjalani pemeriksaan air kencing mendapati kesemua mereka positif mengambil dadah.

Menurutnya, siasatan juga mendapati seorang daripada mereka merupakan suspek yang dikehendaki polis berhubung satu kes dilaporkan di Gambang, Pahang.

Katanya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 4.22 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM