Polis Bantuan Turut Sumbang Peranan Kepada Penurunan Jenayah
Pulau Pinang , 15 Oktober - "Saya melihat pasukan Polis Bantuan sebagai satu elemen 'complementary' yang sangat penting kepada 'regular police' lebih-lebih lagi dalam konteks masa kini di mana peningkatan dalam jumlah penduduk dan aktiviti ekonomi negara telah bertambah sehingga tidak setara dengan jumlah keanggotaan dalam sektor keselamatan (kepolisan)," ujar YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Setia 2010 Polis Bantuan, Perladangan (Upstream) Malaysia di Hotel Equatorial, Pulau Pinang, hari ini.
Beliau turut menyifatkan teras perkhidmatan Polis Bantuan adalah dalam pencegahan jenayah, termasuklah menangkap suspek dan penjenayah di dalam kawasan ladang atau kilang serta memberi perlindungan keseluruhan kepada keselamatan harta syarikat, pekerja-pekerja ladang dan kilang sehinggalah kepada harta persendirian penghuni ladang.
Sehubungan itu, beliau amat berbesar hati dengan kejayaan pihak Polis Bantuan yang telah menjalankan tugas-tugas pencegahan jenayah di lokasi penugasan mereka dengan begitu berkesan sekali.
Penglibatan Dan Sumbangan Polis Bantuan Di Bawah NKRA
"Saya juga telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan semua agensi yang mempunyai Polis Bantuan untuk merangka kaedah-kaedah baru yang inovatif yang boleh melibatkan Polis Bantuan untuk turut menyumbang kepada strategi-strategi di bawah NKRA, terutamanya dalam aspek-aspek pencegahan dan pengurangan kadar jenayah," jelasnya.
Tambah beliau lagi, PDRM dan Auxiliary Police Association (APA) akan melihat isu penglibatan Polis Bantuan dalam inisiatif NKRA dengan lebih mendalam dan sekiranya berdaya maju, ianya akan diangkat ke pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk nasihat lanjut.
YDH IG Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar, Ketua Polis Negara telah menyempurnakan majlis yang menyaksikan 189 anggota Polis Bantuan Sime Darby Plantation Sdn Bhd mendapat pengiktirafan tinggi daripada PDRM dengan pengurniaan Pingat Perkhidmatan Setia di atas keberanian, kesetiaan serta pencapaian cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka.
Turut hadir, Y.Bhg Helmy Othman Basha, Ketua Perladangan Upstream Malaysia, YDH DCP Dato' Haji Ghazali Bin Md Amin, Setiausaha Polis Malaysia, YDH DCP Dato' Wira Ayub Haji Yaakob, Ketua Polis Pulau Pinang, YDH DCP Dato' Ahmad bin Ibrahim, Ketua Polis Kedah, YDH SAC Dato' Zull Aznam Haron, Ketua Polis Perlis, Pegawai-pegawai Kanan PDRM, Y.Bhg Bakri Bin Sanusi, Presiden Auxiliary Police Association (APA), Y.Bhg Haji Zakaria Merican, Ketua Keselamatan Sime Darby Plantation dan Penasihat Persatuan Polis Bantuan Auxiliary Police Association (APA), Y.Bhg Mohamad Fauzi bin Hassan ,Ketua Sumber Manusia Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Pengurus Besar Zon-zon operasi perladangan dan kilang Sime Darby Plantation, Ahli-ahli Persatuan Polis Bantuan dan wakil-wakil media.

Ucapan daripada YDH Ketua Polis negara.

YDH Ketua Polis Negara memeriksa perbarisan.

Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia kepada anggota Polis Bantuan yang cemerlang dalam penugasan mereka.

Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia kepada anggota Polis Bantuan yang cemerlang dalam penugasan mereka.

YDH Ketua Polis Negara sempat meluangkan masa beramah mesra dengan penerima-penerima pingat.

MOTIVASI...diharapkan kecemerlangan ini akan dicontohi oleh setiap anggota yang masih bertugas.

CEMERLANG...Antara anggota Polis Bantuan yang turut menerima Pingat.

TERTIB..Tabik Homat kepada YDH Ketua Polis Negara.

Upacara penyerahan cenderahati.

Persembahan Pancaragam daripada Anggota Polis Bantuan.

Sesi bergambar kenangan bersama YDH Ketua Polis Negara.
Sumber Bahan : HEA IPK Pulau Pinang
Penyunting : L/Kpl Irfan bin Bujang