Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Bachok Buru Anggota 11 Sindiket Curi Kereta

Diterbitkan: 02 Apr 2015 12.20 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
BACHOK : Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kini memburu beberapa suspek daripada 11 sindiket curi kereta yang bergiat aktif di jajahan ini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-bachok-buru-anggota-11-sindiket-curi-kereta
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 21:58 MYT

BACHOK : Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kini memburu beberapa suspek daripada 11 sindiket curi kereta yang bergiat aktif di jajahan ini.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata pihaknya berjaya
mengesan sindiket berkenaan hasil siasatan terhadap dua pemuda yang ditahan
ketika sedang mencuri sebuah Perodua Kancil di Kampung Kuin Pasir, Jelawat, di
sini, semalam.

"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, kami berjaya mendapatkan maklumat berkaitan 11 kumpulan lain yang masih aktif mencuri kereta di Jajahan Bachok," katanya pada sidang media di IPD Bachok di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 31
tahun itu ditangkap penduduk kampung berkenaan pada pukul 5 pagi selepas pemilik
kenderan itu menyedari keretanya cuba dicuri oleh dua lelaki terbabit.

"Pemilik kereta berkenaan tersedar daripada tidur apabila terdengar enjin
keretanya yang diletak berhampiran rumahnya cuba dihidupkan.

"Pemilik kereta berkenaan mengintai dari tingkap rumahnya dan mendapati
keretanya cuba dicuri lalu mendapatkan bantuan penduduk kampung serta pihak
polis sehingga kedua-dua suspek berjaya ditangkap," katanya.

Abdul Hamid berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata dalam tempoh Januari hingga Mac
tahun ini, sebanyak 55 laporan kehilangan kenderaan telah dibuat dengan 18 kes
berjaya diselesaikan serta 10 suspek ditahan atas kesalahan sama.

Selain itu, sepanjang tahun lepas pihaknya berjaya menyelesaikan 72 daripada 198 kes kecurian kenderaan yang dilaporkan dengan melakukan 39 tangkapan.-BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 02 Apr 2015 12.20 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM