Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Perutusan Tahun Baharu 2023 Ketua Polis Negara

Diterbitkan: 30 Dec 2022 4.49 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.32 AM
Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/perutusan-tahun-baharu-2023-ketua-polis-negara
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 06:31 MYT
Segala puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jualah kita diberikan kesempatan untuk melangkah masuk ke tahun baharu 2023 selepas mengharungi cabaran dan dugaan yang pelbagai sepanjang tahun.

Tahun 2022 melabuhkan tirainya dengan meninggalkan pelbagai coretan peristiwa yang telah menguji kesediaan, kekuatan dan kesiapsiagaan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Alhamdulillah, setelah dua (2) tahun mengharungi tempoh pandemik COVID-19, pada April 2022 kita memasuki fasa peralihan endemik yang membolehkan masyarakat menjalani kehidupan normal sebagaimana kita nikmati sebelum pandemik COVID-19. Seterusnya, kita telah berjaya memastikan proses peralihan tampuk pemerintahan negara menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang mencetuskan kacau ganggu ketenteraman awam. Tahniah diucapkan kepada semua petugas PDRM dan terima kasih juga kepada rakyat Malaysia, termasuklah ahli-ahli politik dan penyokong-penyokong parti politik kerana telah memberikan kerjasama yang baik bagi membolehkan perjalanan PRU 15 berlangsung dengan penuh tertib dan tenteram.

Kita kemudiannya dikejutkan pula dengan insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022 yang mengorbankan 31 nyawa. Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah ini telah menyerlahkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua petugas yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat secara bersepadu ini. Dalam insiden berkenaan, setiap agensi telah mempamerkan kematangan memainkan peranan sepertimana yang digariskan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara 20 dan hasilnya, insiden tersebut telah berjaya ditangani dalam tempoh masa yang relatifnya singkat di mana kesemua mangsa berjaya ditemui.

Dalam pada itu, negara juga dilanda musibah banjir di beberapa buah negeri dan semua elemen PDRM ditugaskan secara optimum bagi kawalan keselamatan serta menyelaras bantuan menyelamat antara agensi dan kemanusiaan. Ucapan penghargaan saya zahirkan kepada petugas PDRM yang sentiasa “Sedia Berkhidmat” dalam apa jua keadaan, dengan meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan, selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
Jelasnya, rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2022 telah mematangkan lagi PDRM untuk terus cekal dan komited dalam mendepani apa jua bentuk cabaran yang mendatang. Seiring dengan peranan dan fungsinya, PDRM akan terus memikul mandat sebagai agensi penguat kuasa utama negara dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Saya yakin, PDRM akan mampu memenuhi ekspektasi masyarakat dan sentiasa berada pada landasan yang betul berpandukan kepada tiga (3) Fokus Utama yang telah saya tetapkan iaitu Memperkasakan Integriti, Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan (Service Delivery) serta Mendukung Dasar Dan Usaha Kerajaan Dalam Mengekalkan Kesejahteraan Masyarakat.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, demi kesejahteraan masyarakat. Semoga segala pengorbanan kita selama ini mendapat ganjaran tertinggi daripada Yang Maha Esa dan semoga kita dijauhkan daripada sebarang mara bahaya dan diletakkan di bawah payung lindungan-Nya setiap masa, Insya-Allah.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023.

(TAN SRI ACRYL SANI BIN HJ. ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

May be an image of 2 people and text that says 'PFoIs DIRAJA SELAMAT MENYAMBUT POLI TAHUN BAHARU 2023 Polis Diraja Malaysia Terbitan& Konsep: Urus Seti
ArtikelDiterbitkan 30 Dec 2022 4.49 AMDikemas kini 17 Jul 2026 3.32 AM