Artikel
Perutusan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 214 Tahun 2021
Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang telah memerah keringat dan bergadai nyawa, demi memastika...
Salam Sejahtera dan Salam Polis Diraja Malaysia.
Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpahan rahmat serta izin-Nya jua, kita diberi peluang untuk menyambut Peringatan Hari Polis Ke-214, yang akan diraikan pada 25 Mac 2021. Kita amat bersyukur kerana majlis sambutan ulang tahun penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat diadakan pada tahun ini, walaupun dalam skala kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang digariskan oleh Kerajaan.
Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang telah memerah keringat dan bergadai nyawa, demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara. Saya juga menyanjung tinggi pengorbanan dan amat berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh setiap warga Pasukan dalam memikul amanah Kerajaan dan menjadi sandaran harapan masyarakat untuk membendung penularan COVID-19.
Kesiapsiagaan Pasukan menjalankan tugas dalam norma baharu dan terdedah dengan risiko jangkitan, adalah bukti nyata kesanggupan kita mengetepikan keselamatan diri sendiri, demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut tersebut.
Tarikh keramat 25 Mac juga, mengangkat jasa serta pengorbanan para pesara polis yang telah sekian lama mengabdikan diri, berkhidmat kepada masyarakat, negara dan Pasukan. Sekalung penghargaan yang tidak terhingga dihadiahkan kepada rakan-rakan pesara, atas sumbangan khidmat bakti yang tidak ternilai harganya. Bagi rakan-rakan yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita, sama-samalah kita berdoa semoga pengorbanan mereka akan dirahmati dan roh mereka ditempatkan bersama para syuhada dan solihin.
Kekal dengan tema “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”, PDRM amat menghargai segala sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada Pasukan, selama ini. Sesungguhnya, kerjasama berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan, lebih-lebih lagi dalam usaha kita mencari titik noktah kepada pandemik COVID-19, sekali gus membolehkan kita kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga Pasukan untuk mempasakkan tekad dan membulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta. Marilah kita memperbaharui sumpah taat setia dan janji kita untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjaga kesejahteraan masyarakat dan memelihara integriti Pasukan. Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh rasa kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan pada jalan jihad ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Yang Maha Esa. Insya-Allah.
SELAMAT HARI POLIS KE-214
(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL HAMID BIN BADOR) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia