
Artikel
Perutusan Ketua Polis Negara Sempena Bulan Ramadan Tahun 2022 Masihi 1443 Hijrah
Marhaban Ya Ramadan. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang menganugerahkan nikmat dan rahmat-Nya kepada kita untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadan Al-...
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Marhaban Ya Ramadan. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang menganugerahkan nikmat dan rahmat-Nya kepada kita untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan seribu rahmat dan maghfirah.
Saya dan isteri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada seluruh umat Islam khususnya warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Alhamdulillah, peralihan ke fasa endemik bermula pada 1 April 2022, merupakan hadiah istimewa kepada rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya, untuk kembali menjalani kehidupan normal dalam norma baharu serta dapat menyempurnakan Rukun Islam Ketiga ini dengan rasa selamat dan penuh kesyukuran.
Kepada warga PDRM, yakinlah bahawa kita adalah khalifah di muka bumi ini yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam, waima dalam apa keadaan dan musibah yang melanda. Insya-Allah, semoga ibadah kita dalam melaksanakan tugas demi keselamatan nusa dan bangsa, terutamanya di bulan Ramadan ini akan dikurniakan ganjaran pahala berlipat ganda oleh Yang Maha Esa.
Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita memperbanyakan amal ibadah dan amal jariah demi merebut pahala berganda serta mencapai darjat ketakwaan tertinggi di sisi Allah SWT jua, Insya-Allah.
SALAM RAMADAN KAREEM DAN SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA.
(TAN SRI ACRYL SANI BIN HJ. ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia