Pertemuan Khas Kpn Bersama Persatuan Pdrm
PERTEMUAN KHAS KPN BERSAMA PERSATUAN PDRM
Kuala Lumpur, 24 Oktober 2017 – Sebagai manifestasi keakraban hubungan antara persatuan-persatuan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pucuk pimpinan PDRM, satu pertemuan khas bersama Ketua Polis Negara telah diadakan di Dewan Theatrette 2, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur petang tadi.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh muhibbah itu dihadiri oleh lebih kurang 300 orang ahli-ahli Persatuan Pesara dan Bekas Polis, Persatuan Pegawai Diwartakan, Persatuan Inspektor dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PRP).
YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya menyatakan objektif penubuhan persatuan adalah untuk menyatupadukan kesemua ahli dalam menjaga kepentingan dan kebajikan di samping mengimarahkan lagi ikatan silaturrahim demi mencapai matlamat yang telah digariskan.
“Saya meletakkan sepenuh harapan kepada pucuk pimpinan persatuan untuk mengenalpasti kaedah-kaedah terbaik dan menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul bagi memantapkan lagi persatuan terutamanya dalam hal ehwal kebajikan para ahli,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau menegaskan persatuan-persatuan pesara perlu memainkan peranan sewajarnya dan membantu pihak Pengurusan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) dalam mengesan para pesara polis yang memerlukan sebarang bentuk bantuan sama ada khairat kematian, bantuan perubatan mahupun anggota badan palsu.
Dalam ucapan yang sama, beliau juga menyeru kepada semua persatuan agar terus memberikan sokongan padu kepada PDRM bagi mengembalikan persepsi positif masyarakat luar terhadap institusi PDRM sekaligus menaikkan martabat Pasukan di mata masyarakat.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pengurusan, Dato’ Sri Abdul Ghafar Rajab, Ketua Penolong Pengarah Urus Setia/Bahagian Ehwal Pesara PDRM, SAC Rasdi Ramli, Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Tan Sri Dato’ Haji Mohd Ismail Che Rus, Presiden Persatuan Skuad 69, Dato’ Haji Aziz Bakar, Presiden Persatuan Bekas Polis (PBPM), Tuan Haji Hussin Awang Ngah, pegawai-pegawai kanan dan anggota PDRM serta para ahli persatuan.
Bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara
Sekitar sesi dialog berlangsung.
YDH Ketua Polis Negara beramah mesra bersama para pesara Polis yang hadir.