
Persidangan Pjp Kp Komander Dan Komandan Kali Ke 2 Tahun 2022 Fokus Persediaan Pru Serta Banjir
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2022 - Persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 serta persiapan bencana banjir dalam negara, antara perkara dibincangkan dalam Persidangan Pesuruhjaya Polis (PJP)/Ketua Polis (KP)/Komander dan Komandan bilangan 2 tahun 2022, hari ini.
Persidangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dekat Bukit Aman itu dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dengan turut dihadiri oleh timbalannya, DIG Tan Sri Razarudin Husain.
Perihal persediaan Pasukan tadi disampaikan oleh Pengarah Jabatan KDNKA merangkap Pengarah Operasi PRU PDRM, CP Dato' Sri Hazani Ghazali dan Pengarah Cawangan Khas, CP Dato' Hj. Baharuddin Hj. Ahmad.
Turut bersidang secara maya adalah Komander/Komandan seluruh kontinjen PDRM bagi mendengar amanat dan perkembangan mutakhir berhubung isu keselamatan dalam negeri serta ketenteraman awam.
Persidangan PJP/KP/Komander dan Komandan diadakan dua kali setahun, selepas Kontinjen Negeri Sembilan menjadi tuan rumah pada 16 Jun lalu.
Yang turut hadir, barisan Pengarah PDRM dan PJP/KP negeri, Setiausaha Polis Malaysia selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, DCP Dato' Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Dato' Mohamad Noor Yusof Ali dan barisan Ketua Urus Setia KPN.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Shazril Abd Rashid