
Artikel
Persidangan Fbinaa Asia Pasifik Ke 23 Lebih 150 Delegasi Agensi Penguatkuasaan Berhimpun Perangi Jenayah Transnasional
Petaling Jaya, 26 Jun 2023 - Malaysia melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan...
Petaling Jaya, 26 Jun 2023 - Malaysia melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23 yang berlangsung dari 26 hingga 29 Jun 2023 di Hotel Sunway Resort, di sini.
Perasmian persidangan yang berlangsung kira-kira jam 9 pagi tadi telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Persidangan kali ini melibatkan lebih 150 delegasi yang merupakan ahli-ahli komuniti agensi penguatkuasaan dari 49 negara anggota seluruh rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun, Vietnam, Australia, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan lain-lain.
Berucap dalam persidangan tersebut, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, adalah penting untuk semua agensi penguatkuasaan menjalin kerjasama serantau bagi memerangi jenayah transnasional yang semakin kompleks, selain memastikan keamanan dan keselamatan sejagat sentiasa terjamin.
Tan Sri Razarudin juga yakin bahawa perkongsian pengetahuan dan pengalaman oleh ahli-ahli komuniti sepanjang lima hari persidangan itu akan menghasilkan hubungan lebih erat dalam memastikan matlamat menangani isu-isu jenayah semasa berjaya dilaksanakan bersama.
FBINAA Asia Pasifik yang ditubuhkan pada tahun 1984 merupakan organisasi alumni bagi para pegawai PDRM yang telah menamatkan kursus selama 11 minggu di Akademi Kebangsaan FBI di Quantico, Virginia, Amerika Syarikat.
Sehingga hari ini, FBINAA Malaysia mempunyai seramai lapan pegawai PDRM yang masih berkhidmat dan 57 pesara polis sebagai anggota pertubuhan.
Hadir sama dalam perasmian tadi ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, H.E. Brian D. McFeeters, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato' Ramli Dato' Mohd Nor, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Antarabangsa FBI, Mr. Raymond P. Duda, Presiden FBINAA Antarabangsa, Mr. Tim Braniff, barisan Pengarah PDRM, Ketua Polis Selangor, CP Dato' Hussein Omar Khan, Ketua Polis Perak, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa) Bukit Aman, SAC Suparamaniam Ramasamy dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nasriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.






