Perkhemahan Kor Kadet Polis Kebangsaan Ke 11
Kuala Pilah - 9 Julai 2007. Perkhemahan Kor Kadet Polis Kebangsaan Ke-11 telah diadakan di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah bermula dari 8 hingga 14 Julai 2007. Seramai 615 orang kadet polis lelaki, 613 orang kadet polis perempuan dan lebih 400 orang urusetia, jurulatih dan guru-guru Kor Kadet Polis terlibat didalam perkhemahan tersebut yang datang dari 16 kontinjen seluruh Malaysia.
Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberikan kepercayaan kepada Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan untuk menjadi tuan rumah kepada Program Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat kebangsaan ke-11 pada tahun ini.
Sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya, perkhemahan seumpama ini merupakan program kemuncak kepada aktiviti tahunan Kor kadet Polis. Matlamat perkhemahan ini diadakan di peringkat kebangsaan adalah untuk memberi pendedahan yang lebih luas mengenai aktiviti Kor Kadet Polis kepada para anggota kadet yang terpilih bagi memupuk semangat patriotik, stiakawan, bekerjasama dan mengukur kemahiran di samping merealisasikan matlamat integrasi negara.
YDH Tan Sri Mohd Najib bin Abdul Aziz, Timbalan Ketua Polis Negara telah merasmikan Perkhemahan Kor Kadet Polis Kebangsaan Ke-11. Hadir sama dimajlis tersebut ialah YDH SAC 1 Mohd Noh bin Kandah, Ketua Polis Negeri Sembilan, Y. Bhg. Mohd Yasin bin Mohd Yunus, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, YDH SAC II Haji Shatar bin Haji Abdul Jalil, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Wakil-wakil Pengarah Pelajaran Negeri, Ketua-ketua Polis Daerah, Pegawai-pegawai Pelajaran Daerah, Pegawai-pegawai Kanan Polis, Pegawai-pegawai Kanan Kor Kadet Polis, Guru-guru dan Ahli Jawatankuasa Pengelola Perkhemahan.

YDH Tan Sri Mohd Najib bin Abdul Aziz, Timbalan Ketua Polis Negara bersama YDH SAC I Mohd Noh bin Kandah, Ketua Polis Negeri Sembilan bergambar kenangan dengan Kor Kadet Polis Kontinjen Kelantan di tapak perkhemahan.

YDH Tan Sri Mohd Najib bin Abdul Aziz membuat lawatan ke tapak perkhemahan