
Perkep Malaysia Hargai Keprihatinan Dan Sokongan Isteri Perdana Menteri
Shah Alam, 4 Oktober 2023 - Lebih 300 ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia hari ini meraikan isteri Perdana Menteri selaku Pengerusi KASIH Malaysia, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail di Dewan D' Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.
Majlis Ramah Mesra PERKEP Malaysia yang bertemakan 'Sedetik Bersama Seabad Terasa' itu diadakan bagi menghargai sikap prihatin dan sokongan yang tidak berbelah bahagi Dato' Seri Dr. Wan Azizah terhadap segala aktiviti yang dianjurkan oleh PERKEP selama ini.
Menurut Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, PERKEP yang telah berusia 55 tahun pada 3 Ogos lalu akan terus relevan menepati objektif penubuhannya sebagai tulang belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan terus berusaha menjalinkan hubungan baik dengan persatuan-persatuan wanita lain dalam negara.
"Sebagai insan yang menggalas tanggungjawab untuk memperkasakan PERKEP di setiap sudut, sudah menjadi falsafah saya untuk mengubah dan memastikan bahawa, segala usaha yang saya ilhamkan sebagai pengemudi mampu membuahkan manfaat yang saksama buat semua ahli yang mendambakan keprihatinan dan kepekaan persatuan ini", ucap beliau.
Puan Sri Zainah turut menzahirkan komitmen ahli-ahli PERKEP Malaysia menjadi 'Sri Kandi Pasukan' dalam melaksanakan segala tanggungjawab mereka kepada PDRM dengan penuh rasa kasih sayang dan bertanggungjawab.
"Sebagai seorang isteri yang sentiasa berada di sisi suami, kita tidak dibayar tetapi kita laksanakan semua tanggungjawab atas rasa kasih, sayang dan ikhlas buat keluarga yang tercinta", ujar beliau.
Menerusi majlis tadi juga, Puan Sri Zainah turut mengiringi Dato' Seri Dr. Wan Azizah mengagihkan sumbangan kebajikan termasuk Bakul Kasih yang mengandungi barangan berupa makanan kepada 30 ahli-ahli keluarga PERKEP Malaysia yang kurang bernasib baik. Antara yang menerimanya termasuklah 19 individu mengalami sakit kronik dan 11 anak-anak autisme dari kalangan keluarga besar PDRM.
Hadir sama, Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri, Datin Seri Norhayati Musa bersama timbalannya, Datin Seri Hamisah Hussin, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor merangkap Penaung PUSPANITA Negeri Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.