Peragut Gagal Larikan Dompet Jurujual
Kuantan,
15 Mei - Tindakan pantas beberapa orang awam berjaya memberkas seorang
lelaki yang meragut dompet seorang jurujual di Jalan Pak Sako di bandar
Temerloh semalam.
Dalam
kejadian 1.30 tengah hari itu, suspek yang berumur 30 tahun meragut
wanita tersebut yang berusia 19 tahun yang sedang berjalan ke sebuah
restoran untuk makan.
Menurut Timbalan Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud, orang awam yang
mendengar jeritan mangsa bertindak mengejar suspek kira-kira 200 meter
sebelum berjaya memberkasnya.
"Lelaki
yang memakai topi keledar itu datang dari arah belakang dan meragut
dompet di tangan kanan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Dompet
yang berisi RM150 itu ditemui pada suspek yang berasal dari Kuala Krau
itu. Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di tempat
kejadian.
Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan polis
percaya dia melakukan jenayah terbabit bersama seorang lagi rakan yang
melarikan diri dengan motosikal, katanya. Mohd Haris berkata kes
disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. - BERNAMA