Pulau
Pinang, 12 Ogos 2011 - "Satu Mesyuarat Eksekutif Bersama Yang Amat
Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang telah diadakan pada 11 Februari
2011 telah memutuskan bahawa PDRM masih perlu mengekalkan sebahagian
aset untuk menjalankan peranan dan fungsi kepolisannya di perairan
negara, di mana mesyuarat penyelarasan antara agensi-agensi
Penguatkuasaan Maritim pada 10 Mac 2011, telah
membuat keputusan bahawa PDRM dikehendaki meneruskan tugas
penguatkuasaan dan kepolisan di semua sungai, tasik dan pulau", ujar YDH
Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dalam ucapan
beliau sempena Majlis Pelancaran Doktrin Penugasan Baru Pasukan Gerakan
Marin PDRM (PGM) di PGM Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang.
Sebelum
ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2009 telah memutuskan Agensi
Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) adalah sebagai agensi penguatkuasa
tunggal di laut. Dengan keputusan itu, maka semua tugas penguatkuasaan
di laut negara, yang selama ini dilaksanakan oleh PDRM dengan penggemblengan tenaga Pasukan Gerakan Marin (PGM) akan diambil alih oleh APMM.
Sehubungan
itu, PDRM telah menyusun dan menstrukturkan semula peranan, fungsi,
tugas dan tanggungjawabnya supaya dapat mencapai objektif di dalam
melaksanakan misi menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Susulan
daripada keputusan perbincangan tersebut, PDRM menyerahkan 60 buah bot
ronda kelas PX, PA dan PC bersama 570 perjawatan serta 7 buah pangkalan
utama kepada APMM.
Pada
tahun 2005, PDRM juga telah menyerahkan 15 buah kapal ronda kelas PZ
bersama 510 perjawatan kepada APMM. Dengan demikian PDRM telah
menyerahkan 75 buah bot ronda, 1,080 perjawatan dan 7 buah pangkalan kepada APMM.
Antara skop penugasan penguatkuasaan yang
diberikan kepada PDRM adalah di kawasan perairan sungai, tasik dan
pulau, maka satu bentuk penugasan yang lebih fokus kepada aspek
keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam, serta mencegah jenayah
telah dijadikan teras penugasan baru PGM.
Bagi
melaksanakan peranan dan tugas ini dengan lebih mantap dan berkesan maka
semua bentuk skop penugasan dan langkah-langkah yang perlu telah
dibukukan dan dijadikan sebagai satu "Doktrin" yang akan diguna pakai oleh PDRM, khususnya Pasukan Gerakan Marin di dalam melaksanakan tugas dan peranannya.
Dalam memenuhi
skop dan memperjelaskan lagi penugasan penguatkuasaan di
kawasan-kawasan yang penting dari segi sosio-geo-ekonomi yang merangkumi
:-
1) Semua sungai termasuk muara sungai;
2) Semua tasik, empangan dan kawasan tadahan air;
3) Semua pulau di perairan negara;
4) Semua kawasan daratan pantai dan tebingan sungai negara sehingga 1.6 kilometer (1 batu) dari tepi pantai
dan tebingan sungai ke daratan; dan
5) Semua pelabuhan, jeti dan dermaga di seluruh negara.
Ujar Tan Sri juga, bidang penugasan kepolisan yang lain selain daripada penguatkuasaan seperti penyiasatan, perisikan dan keselamatan tetap masih kekal dan perlu dilaksanakan oleh PDRM di semua kawasan perairan yang terletak di bawah jurisdiksi daerah Polis dan ini juga adalah bersesuaian dengan skop dan domain penugasan yang baru, peranan dan fungsi PGM kini menjadi lebih fokus kepada:-
1) mengawal keselamatan dalam negeri dari ancaman luar dan dalam negara;
2) mencegah, mengesan, dan menyiasat kes-kes jenayah, (termasuk kawasan perairan wilayah
negara);
3) menjaga keselamatan nyawa dan harta benda awam;
4) menjalankan risikan jenayah, keselamatan dan kepolisan; dan
5) menyediakan perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat.
Walaupun
Jemaah Menteri telah memutuskan PDRM tidak dikehendaki menjalankan
tugas penguatkuasaan di perairan negara, ia hanyalah satu keputusan yang
dibuat secara pentadbiran sahaja.
Dari
sudut perundangan, PDRM masih tetap diberikan kuasa mengikut
undang-undang untuk melaksanakan semua tugas kepolisan di seluruh
wilayah, dan pada bila-bila masa ianya diperlukan.
PDRM
masih organisasi utama yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh
kerajaan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam negara, baik
di daratan mahupun di perairan wilayahnya.
Justeru itu, PDRM tidak boleh mengabaikan sebarangan ancaman atau serangan yang berlaku di perairan wilayahnya kerana ia saling berhubung kait dan mempunyai impak ke atas keselamatan dan ketenteraman awam di daratan.
Dengan
terbitnya Doktrin Penugasan Baru PGM ini dapat memantapkan secara
realistik perkhidmatan PDRM kepada masyarakat selaras dengan Konsep 4P yang telah diperkenalkan oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara sebelum ini.
Antara
yang hadir semasa pelancaran doktrin ialah, YDH Dato' Sri Khalid bin
Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Pengarah-pengarah PDRM, YDH
Ketua-ketua Polis, Mantan Komander-komander PGM, serta pegawai
dan anggota marin yang terlibat.

Ketibaan
YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara disambut
mesra oleh YDH Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis
Negara.

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara menandatangani buku pelawat.

Ucapan aluan daripada YDH CP Dato' Salleh bin Mat Rasid, Pengarah KDN/KA PDRM.

Ucapan aluan serta perasmian oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara menerima Doktrin PGM.

Gimik
Pelancaran Doktrin Pasukan Gerakan Marin yang disempurnakan oleh YDH
Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.

Gambar kenangan bersama YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara semasa sesi sidang media.
Jurufoto : L/Kpl Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor & Konst Raymond Martin
Wartawan : L/Kpl Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor