Pengawal Keselamatan Ditahan Jual Air Ketum Di Jinjang
Kuala Lumpur, 9 Ogos - Seorang pengawal keselamatan ditahan dalam serbuan di sebuah bangsal memproses daun dan air ketum di sebuah kebun bunga di Jalan Batu Muda, Jinjang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata suspek yang berumur 28 tahun dan berasal dari Batu Kurau, Perak itu dipercayai menjual air ketum kepada pelanggan yang datang ke bangsal itu sejak seminggu lepas.
"Ketika serbuan di bangsal berkenaan, polis menemui 165 paket plastik air ketum yang dianggarkan seberat 165 kilogram (kg) serta tiga bungkusan plastik yang mengandungi daun ketum kering seberat 20.6 kg.
"Turut dirampas ialah daun ketum basah di dalam sebuah periuk yang dipercayai untuk dimasak dengan anggaran berat 6.5 kg. Keseluruhan rampasan adalah bernilai RM1,650," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Munusamy berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini.
BERNAMA